Isnin, 30 Mei 2022 | 8:58pm

Pasukan baharu untuk memperkuatkan parti

SEREMBAN: Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kemenangannya bagi jawatan Naib Presiden PKR sebagai suatu amanah dan tanggungjawab untuk membantu menguatkan parti di peringkat pusat dan negeri serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, biarpun belum ada keputusan rasmi, mesej dari ahli yang mengundi pada pemilihan kali ini adalah jelas bahawa parti perlu disusun semula dan diperkuatkan sebagai langkah untuk memacu ke hadapan.

"Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab (menang Naib Presiden). Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan saya juga ucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden yang baharu dipilih.

"Mereka yang gagal mempertahankan jawatan boleh teruskan dengan sumbangan-sumbangan yang penting kepada parti dan saya berharap selepas ini kita dapat menyusun semula parti dengan lebih baik.

"Kita harus tumpukan segera kudrat dan jentera kita untuk memastikan parti terus mantap dan berjaya pada PRU-15 akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri Petronas di Royal Chulan, di sini, petang ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berkata, pemilihan itu disifatkan sebagai pertandingan dalam sebuah keluarga dan adat pertandingan ada yang menang dan kalah.

Namun katanya, semua pihak harus bersatu semula untuk memperkuatkan parti bagi menghadapi cabaran berikutnya.

"Perlu difahami bahawa pemilihan ini adalah untuk menguatkan parti di masa akan datang dan yang kalah itu tidak semestinya kalah terus dan kita akan terus bersama sebagai sebuah keluarga besar.

"Yang penting kita perlu memperkuatkan semula parti selepas ini. Saya dapati pemilihan kali ini terdapat perkembangan positif terutama dari segi undi yang terus bertambah," katanya.

Mengenai kejayaannya memenangi jawatan Ketua Cabang Port Dickson, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, ia juga menunjukkan sokongan ahli terhadap kepemimpinan beliau.

Beliau berkata, walaupun sebelum pemilihan terdapat beberapa pihak yang cuba mempertikaikan langkah beliau berpindah dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson, melalui keputusan yang diperoleh menunjukkan ahli inginkan perubahan.

"Peraturan dalam parti memberi kebebasan untuk kita bertanding dan kita tidak boleh merasa selesa sebaliknya perlu melihat kepada tuntutan perubahan yang dikehendaki setiap anggota parti.

Setakat ini, Aminuddin dilihat menguasai majoriti tujuh cabang di Negeri Sembilan kecuali cabang Rasah, yang mana beliau berada di kedudukan kelima dari 18 calon Naib Presiden PKR yang bertanding kali ini.

Dalam pemilihan itu, menyaksikan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, menguasai saingan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila sudah memperoleh hasil undi sebanyak 66,359 di kebanyakan cabang di negeri-negeri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menjadi pesaing Rafizi memperoleh undi terkumpul sebanyak 47,986

Berita Harian X