Ahad, 29 Mei 2022 | 4:45pm
 Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

Rafizi menang bergaya di Kedah

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kemenangan di Selangor, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan, Rafizi Ramli terus mengungguli saingan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila menang bergaya di Kedah dengan memenangi 10 daripada 13 cabang di negeri itu.

Berdasarkan keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com, Rafizi memperoleh undi terkumpul sebanyak 3,196, manakala pencabarnya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekadar memperoleh 1,706 undi.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan memenangi cabang Langkawi, Kubang pasu, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Jerai, Sik, Merbok, Sungai Petani dan Baling, manakala Saifuddin berjaya di cabang Jerlun, Padang Terap dan Pendang.

Sehingga kini, Rafizi memperoleh undi terkumpul sebanyak 39,816 undi, manakala Saifuddin 29,982 undi.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini memaklumkan, seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17 peratus keluar mengundi dari 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.

Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi dulu jumlah 73,667 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.

Berita Harian X