Ahad, 29 Mei 2022 | 4:45pm
Separuh ayam dijual RM11.99 sekilogram di pasar raya di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
Separuh ayam dijual RM11.99 sekilogram di pasar raya di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN

Kompaun lebih RM250,000 berkaitan harga ayam

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RMRM256,800 sejak skim harga maksimum ayam dikuatkuasakan 5 Februari lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata kompaun itu dikeluarkan ke atas 1,034 kes merangkumi penternak, pemborong dan peniaga runcit ayam serta telur.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan, sebanyak 111 kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, 882 kes gagal guna tanda harga khas dan 41 kes tiada tanda harga.

"Sepanjang skim harga maksimum dilancarkan dan akan berakhir Ahad depan, jumlah sitaan dikenakan dianggarkan bernilai RM133,000," katanya di sini, hari ini.

Mengulas cadangan skim harga maksimum dilanjutkan, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata KPDNHEP akan membentangkan cadangan itu pada mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan akan membuat keputusan terbaik yang turut mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga.

Berita Harian X