Ahad, 29 Mei 2022 | 3:45pm

Rafizi kuasai pengundian di 4 negeri

KUALA LUMPUR : Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sudah menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor bagi saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Setakat jam 3.30 petang ini, Rafizi yang turut menang bagi saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Pandan, menang di Selangor selepas memperoleh 25,449 undi mengatasi pencabarnya yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memperoleh 22,101 undi.

Di Melaka, Rafizi menang selepas memperoleh 2,427 undi dan mengatasi Saifuddin, yang memperoleh hanya 1,464 undi, sementara di Negeri Sembilan, Rafizi juga menguasai jumlah undian diperoleh di semua lapan cabang PKR di negeri itu.

Sementara di Kelantan, Rafizi memperoleh 3,222 undi selepas menguasai 11 daripada 15 cabang di negeri itu, sementara 2,132 undi pula diperoleh Saifuddin.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini memaklumkan, seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17 peratus dari 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.

Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi dulu jumlah 73,667 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.

Setakat jam 3 petang ini juga, empat negeri sudah mengumumkan keputusannya iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Berita Harian X