Ahad, 29 Mei 2022 | 3:25pm

PKR: Saifuddin Nasution tewas di Selangor

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tewas di Selangor bagi saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu kali ini.

Berdasarkan keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu tewas di sebahagian besar cabang di negeri itu, dengan memperoleh 22,101 undi.

Pesaingnya yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, menang selepas memperoleh 25,449 undi selepas menguasai di 13 dari 22 cabang PKR di Selangor.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan saingan merebut jawatan nombor dua PKR ketika ini sengit, memandangkan Selangor dianggap antara negeri penentu yang akan mempengaruhi trend keputusan pada pemilihan PKR, disebabkan jumlah ahli PKR Selangor paling ramai di seluruh negara.

Berdasarkan keputusan setakat jam 3 petang ini, Rafizi juga menang di Melaka dan Negeri Sembilan bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini memaklumkan, seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17 peratus keluar mengundi dari 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.

Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi dulu jumlah 73,667 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.

Setakat jam 3 petang ini juga, empat negeri sudah mengumumkan keputusannya iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Berita Harian X