Ahad, 29 Mei 2022 | 3:11pm
Mangsa, Nur Farhanah Aslan, 28, menunjukkan keadaan kereta termasuk Mercedes Benz milik suaminya dan rumah mereka yang hangus dalam kebakaran di Kampung Perol, Peringat, Kota Bharu. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Mangsa, Nur Farhanah Aslan, 28, menunjukkan keadaan kereta termasuk Mercedes Benz milik suaminya dan rumah mereka yang hangus dalam kebakaran di Kampung Perol, Peringat, Kota Bharu. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias

Rumah, tiga kereta hangus ketika bercuti

KOTA BHARU: Kegembiraan tujuh beranak bercuti dikejutkan dengan berita duka apabila kediaman mereka di Kampung Perol, Peringat, di sini terbakar.

Kebakaran jam 4.30 pagi semalam turut memusnahkan tiga kereta termasuk Mercedes Benz milik anak mangsa.

Mangsa, Sabariah Awang, 67, berkata ketika kejadian dia dan tujuh ahli keluarga tiada di rumah kerana bercuti di sebuah resort di Tok Bali, Pasir Puteh manakala suaminya Mustapha Abdul Razak berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja.

"Kami baru sahaja bertolak ke resort jam 10.00 malam namun pada awal pagi jiran menelefon memberitahu rumah kami hangus dijilat api.

"Kami bergegas pulang namun rumah dan tiga kereta milik anak tidak dapat diselamatkan," katanya ditemui di rumahnya di sini.

Sabariah berkata, dia baru sahaja mahu meluangkan masa bersama anak, menantu dan cucu sempena kepulangan menantunya dari Selayang, Selangor.

Menantunya, Nur Farhanah Aslan, 28, berkata dia baru tiba di kampung selepas diambil oleh suaminya, Muhamad Shahdan Mustapha, 28, menaiki Mercedes Benz yang turut hangus dalam kejadian.

Lebih memilukan barangan perniagaan suaminya yang menjual barang perkakasan yang diletakkan di dalam rumah turut hangus termasuk peralatan komputer, alat pencetak dan barangan lain.

"Dua lagi kereta kami yang hangus adalah kereta Perodua Viva dan Kereta Perodua Kancil. Suami baru sahaja kehilangan kedai kerana dirobohkan untuk membesarkan jalan, kini rumah yang diduduki pula hangus," katanya yang tinggal berasingan dengan suami di Selangor kerana bertugas di Hospital Selayang.

Jiran mangsa, Aini Mamat, 56, yang juga saksi kejadian memberitahu, anak mengejutkannya selepas terdengar bunyi letupan daripada rumah Sabariah.

"Kami nampak kereta Shahdan terbakar kemudian meletup. Letupan itu terkena pada bumbung dan terus merebak ke bahagian rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumbuh, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hamizi Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.21 pagi.

Enam anggota balai bomba Pasir Puteh serta enam anggota bomba bantuan dengan dua jentera dari balai bomba Pasir Tumbuh dan Tunjung ditugaskan dalam operasi pemadaman.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.02 pagi dan operasi tamat jam 7.10 pagi selepas bomba menjalankan penilaian keselamatan di tempat kejadian.

"Punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X