X
Ahad, 29 Mei 2022 | 12:58pm
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (tengah)
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (tengah)

'Jabatan Kimia dapati dakwaan telur tiruan tidak benar'

KUALA LUMPUR: Jabatan Kimia mengesahkan, pemeriksaan oleh jabatan itu terhadap kesemua sampel telur ayam yang sebelum ini didakwa tiruan, mengandungi DNA ayam dan adalah telur tulen.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, berkata pada 16 April lalu, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna mendakwa telur ayam yang dibelinya dari sebuah kedai barangan keperluan membuat kek dan roti di Petaling Jaya, disyaki tiruan berdasarkan teksturnya yang liat umpama getah dan rasanya yang berlainan.

Beliau berkata, susulan aduan itu, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011.

"KPDNHEP Kuala Lumpur mendapatkan bantuan daripada pejabat KPDNHEP untuk membuat pemeriksaan di premis yang diadukan.

"Pemeriksaan turut dijalankan di premis pembekal telur ayam dan hasil pemeriksaan mengesahkan pembekal telur ayam itu ada membekalkan telur ayam kepada premis yang diadukan," katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan bekalan ayam di St Rosyam Mart Setiawangsa, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, kesemua telur ayam yang disita daripada pengadu dan dua rantaian pembekal berkaitan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.

"Jabatan Kimia kemudian mengesahkan bahawa kesemua sampel telur ayam yang dihantar mengandungi DNA ayam dan ia telur tulen.

"Pihak kementerian menghargai aduan yang disalurkan dan berharap orang ramai tidak perlu lagi risau atau panik berkenaan isu telur ayam tiruan," katanya.

Berita Harian X