Ahad, 29 Mei 2022 | 12:07pm
Rafizi Ramli. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
Rafizi Ramli. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Rafizi peroleh undi tertinggi di Melaka

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memperoleh undi tertinggi di Melaka bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR kali ini.

Berdasarkan keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com, Rafizi menang di keseluruhan enam cabang PKR di negeri itu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu memperoleh 2,427 undi terkumpul mengatasi pencabarnya, yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang hanya memperoleh 1,464 undi.

Rafizi juga menang bergaya di Cabang Masjid Tanah selepas memperoleh 551 undi mengatasi Saifuddin yang hanya memperoleh 33 undi.

Keputusan pemilihan PKR itu mula dimuat naik ke laman web berkenaan pagi ini.

Sementara itu, bagi saingan Naib Presiden PKR pula, saingan seimbang antara semua calon yang bertanding, dengan beberapa pemimpin dilihat mendominasi empat tempat teratas.

Antaranya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin, bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.

Pemilihan PKR berakhir semalam dan hari ini, pencalonan dalam talian bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mula dibuka sehingga Selasa ini.

Berita Harian X