Sabtu, 28 Mei 2022 | 5:36pm

UDA lancar Wakaf Seetee Aisah 2 bulan depan

KEPALA BATAS: Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) akan melancarkan projek Wakaf Seetee Aisah 2 di Seberang Jaya, dekat sini bulan depan.

Ia adalah kesinambungan projek Wakaf Setee Aisah 1 pada 2012 yang mendapat permintaan tinggi daripada warga Pulau Pinang.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata kumpulan itu adalah antara pemaju terawal yang menjadi perintis pembangunan perumahan di tanah wakaf.

"Dengan (peningkatan) permintaan khususnya untuk (kediaman) mampu milik di kawasan seberang, jadi kita harapkan pembangunan yang dilaksanakan UDA dapat mengatasi masalah perumahan di Pulau Pinang," katanya pada Majlis Meriah Raya UDA Property North di Bertam, hari ini.

Tun Ahmad Fuzi (dua, kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Meriah Raya UDA di Crescent Dew Club House hari ini. Turut sama Pengerusi UDA Holdings Bhd, Datuk Norliza Abdul Rahim (kiri). - foto BERNAMA

Dalam majlis itu, UDA turut melancarkan kempen hartanah Meriah Raya yang menawarkan pakej tawaran berganda kepada pelanggan yang berminat mendapatkan perumahan di bawah agensi itu.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Projek Wakaf Seetee Aisah 2 adalah pembangunan bercampur yang dibangunkan di tapak seluas 2.93 hektar hasil kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Ia terbahagi kepada tiga fasa merangkumi 150 unit pangsapuri kos rendah iaitu kediaman asnaf (Fasa 1), 422 unit kondominium (Fasa 2) dan 32 unit lot kedai empat tingkat serta satu blok bangunan pejabat tujuh tingkat, surau dan dewan konvensyen (Fasa 3).

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany (kiri) dan Norliza ketika ditemui pada majlis Meriah Raya UDA di Bertam, Kepala Batas hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany (kiri) dan Norliza ketika ditemui pada majlis Meriah Raya UDA di Bertam, Kepala Batas hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong

Norliza berkata, UDA sentiasa melihat permintaan dan mengenal pasti lokasi supaya perumahan yang ingin dibangunkan dapat berjalan dengan baik tanpa berlakunya projek terbengkalai.

"Selain Wakaf Seetee Aisah, UDA turut mengenal pasti beberapa tanah wakaf lain yang ada di Pulau Pinang bagi pembangunan projek seumpama ini.

"Setakat ini, ada tanah wakaf seperti di Jelutong, Sungai Nibong Kecil dan dekat dengan sebuah Wisma Anak Yatim di bahagian Pulau yang sudah dikenal pasti dan masih dalam perbincangan dengan MAINPP," katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany, berkata pihaknya optimis untuk menyiapkan projek Wakaf Seetee Aisah 2 dalam tempoh 36 bulan sebaik sahaja ia dilancarkan.

"Projek ini akan bermula dalam masa terdekat dan kita yakin dapat siapkan projek ini dalam tempoh 36 bulan seperti yang dirancang," katanya.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Mohd Salem Kailany (kanan) dan Norliza (kiri) menunjukkan model Projek Wakaf Seetee Aisah 2 yang akan dilancarkan pada bulan depan. - Foto NSTP/Mikail Ong
Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Mohd Salem Kailany (kanan) dan Norliza (kiri) menunjukkan model Projek Wakaf Seetee Aisah 2 yang akan dilancarkan pada bulan depan. - Foto NSTP/Mikail Ong

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua, kiri) melihat model taman perumahan sambil diberi penerangan oleh Pengerusi UDA Holdings Bhd, Datuk Norliza Abdul Rahim (kiri) pada Majlis Meriah Raya UDA. Kempen hartanah ‘Meriah Raya’ yang bermula 26 April lalu hingga 31 Mei di seluruh negara itu bertujuan mempromosikan pelbagai produk hartanah sesuai untuk semua peringkat termasuk B40, M40 dan T20. - Foto NSTP/Mikail Ong

Berita Harian X