Sabtu, 28 Mei 2022 | 4:09pm
Presiden PENGASIH, Ramli Abdul Samad (kiri) bersama Datuk Jamal Abdillah pada sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Pengasih Malaysia, di Rumah PENGASIH, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Presiden PENGASIH, Ramli Abdul Samad (kiri) bersama Datuk Jamal Abdillah pada sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Pengasih Malaysia, di Rumah PENGASIH, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Penagih dadah perlu dirawat, bukan dipenjara - PENGASIH

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera meminda akta berkaitan dadah dan penyalahgunaan dadah berikutan undang-undang sedia ada sudah lapuk dan kurang sesuai digunakan pada masa ini.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Ramli Abdul Samad, berkata negara masih menggunakan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dilihat sudah terlalu lapuk untuk menangani isu dadah di negara ini.

"Kesan dadah, psikososial (tingkah laku sosial), latar belakang pengguna juga sudah berbeza. Sekiranya masih menggunakan hukuman yang lama (mengikut undang-udang sedia ada), keadaan tidak akan bertambah baik.

"Undang-undang yang sedia ada sudah berusia 70 tahun, manakala akta yang dipinda untuk rawatan (Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983) sudah 40 tahun, namun keadaan (masalah dadah) tidak bertambah baik.

"Maka akta itu perlu dipinda supaya sesuai dengan keadaan semasa kerana penagih dadah pada masa ini memerlukan rawatan perubatan dan bukan hanya perlu ditangkap dan dipenjarakan," katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri PENGASIH di Rumah PENGASIH di sini, hari ini.

Lebih 1,000 tetamu hadir di majlis itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi yang juga alumni PENGASIH, Datuk Jamal Abdillah.

Mengulas lanjut, Ramli berkata undang-udang sedia ada menghukum pengguna dadah dengan memasukkan mereka ke Pusat Serenti mandatori dua tahun dan seliaan selama dua tahun.

"Walhal tidak semua yang ketika ujian saringan didapati positif dadah adalah penagih dadah kerana mereka hanya pengguna kasual (tidak ketagih), tetapi mengikut undang-undang sedia ada, mereka tetap akan dimasukkan ke Pusat Serenti.

"Selain itu, kita memerlukan pendekatan yang lebih membantu dan merawat dan bukannya menghukum... undang-undang sekarang lebih banyak menghukum, itu sebab penjara di negara ini sesak kerana ada 42,000 banduan berkaitan dadah," katanya.

Menurut Ramli, situasi penagihan dadah semakin kritikal dan kerajaan perlu segera meminda akta-akta sedia ada yang lebih bersesuaian termasuk menekankan kaedah rawatan secara perubatan kepada penagih.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menyatakan penagihan dadah adalah satu penyakit yang sifatnya berulang-ulang tetapi akta sedia ada pula dipinda kepada hukuman yang lebih keras.

"Mereka yang didapati melakukan tiga kali kesalahan (menggunakan dadah), mereka boleh dikenakan hukuman mandatori dipenjara dan dirotan, kes ini yang paling ramai pada masa ini, jelas ini tidak akan membantu mengurangkan penagihan dadah," katanya.

Sementara itu, Jamal turut bersetuju dengan perkara itu dan meminta kerajaan segera meminda akta sedia ada kepada yang lebih membantu mengurangkan masalah ketagihan dadah.

"Penagihan dadah pada masa dulu banyak menggunakan dadah tradisional seperti heroin dan ganja berbanding sekarang yang lebih kepada dadah jenis sintetik seperti methamphetamine, amphetamine dan sebagainya.

"Maka kerajaan perlu mencari pendekatan baharu termasuk meminda akta-akta sedia ada, yang seiring dengan peredaran semasa dan bersesuaian untuk menangani isu ketagihan dadah," katanya.

Berita Harian X