Jumaat, 27 Mei 2022 | 4:10pm
Zainab menunjukkan gambar anak ketujuhnya, Zahida yang dilanggar bas sekolah dalam di Taman Anggerik, Sepang. - Foto NSTP/Noor Atiqah Sulaiman
Zainab menunjukkan gambar anak ketujuhnya, Zahida yang dilanggar bas sekolah dalam di Taman Anggerik, Sepang. - Foto NSTP/Noor Atiqah Sulaiman

'Saya maafkan, tak berdendam'

SEPANG: Ibu kanak-kanak perempuan yang dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, di sini reda dengan pemergian anak ketujuhnya itu serta tidak mahu mengambil tindakan ke atas pemandu bas.

Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, berkata keluarganya sudah lama menggunakan perkhidmatan pemandu bas berkenaan untuk menghantar anaknya berulang-alik dari sekolah. Walaupun sedih, beliau memahami kejadian tidak disengajakan.

"Saya belum lagi bertemu dengan pemandu bas berkenaan, sebab dia masih lagi trauma dengan apa yang terjadi. Tapi dia sudah menghubungi saya dan minta maaf atas apa yang berlaku dan saya maafkan.

"Saya pun tidak boleh salahkan pemandu bas, ketika keterangan yang diberikan kepada polis pun saya beritahu supaya pemandu ini tidak diapa-apakan. Tiada dendam pun saya simpan untuk pemandu bas ini, dia pun sudah lama menjadi pemandu bas iaitu kira-kira 25 tahun.

"Saya tiada masalah dengan dia (pemandu bas), begitu juga dengan suami. Kita terpaksa reda dan tidak boleh berdendam," katanya ditemui di kediamannya, di sini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan maut dilanggar bas ketika mengekori kakaknya untuk ke sekolah.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dekat sini, Wan Kamarul Azran berkata, mangsa keluar rumah dan mengekori kakaknya yang sedang menaiki bas untuk ke sekolah.

Wan Kamarul Azran berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menceritakan kejadian menyayat hati itu, saksi kejadian yang juga kakak ketiga kepada mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, berkata dia berada di tangga bas berkenaan untuk memberikan duit poket kepada adik kelimanya yang ketika itu berada dalam bas.

"Lepas bagi duit pada adik, saya turun bas. Saya nampak bas itu bergerak dan melihat Zahida (mangsa) sudah berada di bawah bas. Saya terus menjerit dan mengambil adik yang pada ketika itu sudah terperosok bawah bas. Tindakan itu diambil kerana saya takut Zahida akan digilis kali kedua dengan tayar belakang bas berkenaan.

"Nenek dan jiran yang mendengar jeritan saya kemudiannya terus keluar dan bertanyakan apa yang berlaku sebelum jiran menolong kami menghantar Zahida ke klinik berdekatan," katanya.

Nurul Aishah berkata, selepas pemandu bas menyedari kejadian itu, beliau terus meminta maaf berulang kali kepada nenek dan memaklumkan tidak menyedari Zahida berada di kiri bas.

"Selepas meminta maaf, nenek menyuruh pemandu bas itu menghantar murid lain ke sekolah sebelum terlambat. Pemandu bas berkenaan sangat bertanggungjawab kerana selepas menghantar semua murid itu, beliau datang ke rumah bertanyakan keadaan Zahida.

"Dia sekali lagi meminta maaf, kerana tidak nampak Zahida dan kejadian itu tidak disengajakan. Mak kata tidak mengapa, dia tak salahkan pakcik berkenaan atau pun saya. Kerana kami berdua tidak perasan Zahida keluar dari rumah," katanya.

Mengenangkan semula keletah adik bongsunya itu, Nurul Aishah berkata Zahida adalah seorang adik yang manja dengan semua orang dan sangat rapat dengan ayah serta neneknya.

"Saya memang rapat dengan Zahida, dia memang suka 'mengekor' walaupun ke mana sahaja saya pergi, saya juga selalu bergurau dengannya," katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan.

"Pemandu bas berkenaan sudah ditahan semalam dan selesai memberi keterangan. Dia juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Berita Harian X