Jumaat, 27 Mei 2022 | 2:48pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga kanan) melihat kambing bakar yang disediakan pada majlis mesra Aidilfitri FELCRA Berhad di Wisma Felcra Setapak Jaya. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga kanan) melihat kambing bakar yang disediakan pada majlis mesra Aidilfitri FELCRA Berhad di Wisma Felcra Setapak Jaya. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

FELCRA sasar pengeluaran 6 juta ayam setahun

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad akan menggunakan peruntukan berjumlah RM368 juta bagi memperkasa sektor pertanian dan penternakan, dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.

Antara langkah itu termasuklah terbabit dalam pengeluaran sekurang-kurangnya enam juta ayam daging setahun seawal akhir tahun ini atau awal tahun depan, menerusi projek ayam pedaging sistem tertutup.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata daripada RM368 juta yang diperuntukkan, sekitar RM60 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek kilang pemprosesan makanan ternakan.

"Antara tumpuan FELCRA Berhad adalah makanan untuk ternakan. Ia sudah mula dilaksanakan di beberapa lokasi seperti di Terengganu dan Perak, dan projek ini akan diperbesarkan.

"Ini kerana antara faktor kenaikan harga barangan ketika ini adalah kerana makanan ternakan, dan FELCRA Berhad mengambil inisiatif dalam sektor ini.

"Selain itu, FELCRA Berhad juga sedang meninjau untuk memperkasakan sektor ternakan ayam," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Mesra Aidilfitri FELCRA Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Sementara itu, Mat Roni memaklumkan, pihaknya menyasarkan satu daripada tiga lokasi projek ayam pedaging sistem tertutup FELCRA Berhad dijangka mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya enam juta ekor ayam daging setahun tidak lama lagi.

Katanya, projek itu kini dalam proses pembinaan di Tanjung Seratus di Kuala Rompin, Pahang, selain pihaknya turut mengenal pasti tapak projek di Padang Terap, Kedah dan Machang, Kelantan.

"Untuk peringkat pertama, pelaksanaan projek ini di Tanjung Seratus dijangka mampu mengeluarkan enam juta ayam setahun, bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Data Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menunjukkan keperluan ayam di Malaysia ketika ini adalah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta sebulan.

Namun, jumlah pengeluaran ayam bagi tiga bulan terakhir tahun lalu tidak mencapai jumlah berkenaan apabila mencatatkan sekitar 51.4 juta hingga 61.1 juta ekor sebulan.

Pada masa sama, Mat Roni berkata, FELCRA turut bersedia untuk memenuhi permintaan daging lembu negara, khususnya menjelang Aidiladha pada awal Julai depan.

"Ketika ini, kita ada sekitar 2,000 lembu dipelihara dalam ladang kelapa sawit di Perak dan Johor, yang diusahakan oleh FELCRA bersama institusi peserta," katanya.

Berita Harian X