Jumaat, 27 Mei 2022 | 11:51am
 Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim

Terengganu sedia pertimbang tanah terbiar projek jagung bijirin

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan usahawan memajukan tanah terbiar untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijirin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata usahawan yang berminat untuk memohon bagi melaksanakan projek itu diminta membuat rujukan dengan agensi kerajaan terutama berkaitan dengan kesesuaian cuaca dan tanah.

"Kajian kesesuaian cuaca dan tanah untuk projek jagung bijirin perlu dilakukan untuk memastikan semua pihak tidak akan menanggung risiko kerana jagung bijirin memerlukan cuaca panas kering," katanya.

Kabinet sebelum ini mengarahkan kerajaan negeri menyediakan tanah secara lesen pendudukan sementara (TOL) bagi penanaman jagung bijirin sebagai usaha jangka panjang alternatif makanan ayam.

Dalam perkembangan lain, Dr Azman berkata, sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit bernilai kira-kira RM20 juta bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, hujung tahun ini.

Katanya, kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perbincangan secara terperinci dengan pakar formulasi makanan untuk haiwan ternakan supaya kilang ini mampu mengeluarkan alternatif, selain penggunaan jagung bijian dan kacang soya sedang dilakukan.

"Kita akan gunakan sisa isirung kelapa sawit sebagai bahan utama makanan haiwan ternakan yang akan diproses di kilang ini dan apabila beroperasi kelak, ia dijangka mampu memenuhi 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di negeri ini," katanya.

Dr Azman menjelaskan Terengganu mempunyai sumber sisa isirung kelapa sawit yang banyak kerana terdapat puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit milik syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd.

Katanya, bagi menggantikan kacang soya sebagai sumber protein makanan haiwan ternakan pula, formulasi digunakan kilang itu nanti ialah campuran ikan tilapia hitam dan ikan baja.

"Ikan tilapia hitam ini jarang dimakan dan harganya pula murah, jadi tiada masalah kerana sumbernya terlalu banyak serta boleh didapati daripada nelayan tempatan, begitu juga dengan ikan baja.

"Harga untuk setiap satu beg (50 kilogram) makanan haiwan ternakan ini mampu dijual lebih rendah iaitu sekitar RM35 saja berbanding RM70 ketika ini dan ia dapat membantu penternak mendapatkan makanan haiwan dengan lebih murah, sekali gus merancakkan lagi industri ternakan di Terengganu," katanya.

Berita Harian X