Khamis, 26 Mei 2022 | 7:49pm

KKM adakan sesi dialog awam berkaitan HFMD di setiap negeri

KUALA LUMPUR: Sebanyak 151 sesi dialog awam diadakan di peringkat negeri berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak bulan lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, sesi THM itu dilaksanakan dengan liputan 25 peratus daripada jumlah taska, tadika dan tabika yang berdaftar iaitu sebanyak 5,866 daripada 23,505 premis berdaftar.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut melakukan penyeliaan kebersihan tempat permainan dalam bangunan (indoor) dengan melawat183 premis terbabit.

"Sesi ini merangkumi tunjuk cara melakukan basmi kuman premis dan peralatan yang ada di premis.

"Selain itu, aktiviti pencegahan dan kawalan juga dilaksanakan terutama di premis yang ada melaporkan kes HFMD," katanya pada sidang media khas yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.

Bagi tujuan perancangan dan pelarasan aktiviti kawalan dan pencegahan HFMD, Khairy berkata,, Bilik Gerakan HFMD kebangsaan dan negeri dibuka sejak 4 April lalu.

"KKM menasihatkan semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

"Selain itu, saringan di pintu masuk juga perlu dibuat bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain di taska," katanya.

Beliau juga mengingatkan, semua taska dan pusat asuhan lain supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain.

"Dalam pada itu, sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit termasuk penyakit COVID-19 seperti memakai pelitup muka dan mengehadkan pergaulan rapat; memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup dan melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

"Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD dinasihati tidak membawa anak ke tempat-tempat awam, sekolah, taska, tadika serta ke pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

"Selain itu, sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas

menyentuh atau merawat lepuh; membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin dan memastikan pembuangan lampin pakai-buang dengan betul.

Beliau berkata, orang ramai juga digalak menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengetahui titik panas HFMD yang berada berhampiran mereka.

"Bagi pengusaha taman permainan dalam bangunan dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) perlu mengambil saranan seperti mengadakan saringan di pintu masuk premis, membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

"Selain itu, mereka juga diminta meletakkan papan peringatan atau poster berkaitan risiko jangkitan HFMD di pintu masuk indoor playground serta menyediakan kemudahan cuci tangan atau hand sanitiser premis," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penutupan sukarela sebanyak 146 premis, 691 premis di bawah Akta 342 dan 490 premis dibuka semula.

"Secara purata setiap premis ditutup adalah sebanyak empat hingga lima hari untuk kerja pembasmian kuman," katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X