Khamis, 26 Mei 2022 | 3:07pm

Guru Malaysia dinobat pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022

KUALA LUMPUR: Seorang guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Khalifa Affnan muncul guru Malaysia yang pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan pada kedua-dua peringkat global serta serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Melalui inisiatif itu, beliau melatih pelajar dalam bidang robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi, malah usaha beliau berjaya meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan serta berkeperluan khas dalam aktiviti STEM.

Penganugerahan itu merupakan pertandingan global anjuran Cambridge University Press bagi mengiktiraf serta meraikan usaha pendidik di seluruh dunia.

Tahun ini, lebih 7,000 pencalonan dari 113 negara diterima, yang menyaksikan Khalifa disenarai pendek sebagai antara pemenang serantau dari Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.

Mengulas kejayaan itu, Khalifa berkata, Allahyarham datuknya yang juga bekas guru bahasa, sentiasa memberi inspirasi kepada beliau untuk mengikut jejak langkahnya.

"Seperti guru lain, saya juga menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan ini. Namun dengan berbekalkan daya tahan serta kreativiti, saya gembira dan akan meneruskan usaha yang dilakukan.

"Saya berasa puas apabila melihat pelajar memperoleh kemahiran baharu dan manfaat daripada program STEM," katanya.

Khalifa memaklumkan, kecenderungan semangatnya menerokai bidang STEM tercetus ketika beliau menyertai program pertukaran guru anjuran Bahagian Profesionalisme Guru.

Beliau berkata, pengalaman itu memperluas pandangannya mengenai dunia teknologi, selain membuka matanya terhadap sistem mekanik di sebalik dron, robotik, pengekodan dan banyak lagi.

"Ia sekali gus menaikkan lagi semangat saya mengajar mata pelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain subjek berasaskan bahasa yang juga saya ajar," katanya.

Khalifa menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih atas kejayaan meraih Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge kerana memberi pengiktirafan serta dorongan untuk beliau terus maju.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada 2018 itu membuka peluang untuk pelajar, guru dan orang awam mencalonkan pendidik yang memberi kesan dalam satu daripada empat kategori terbabit.

Kategori berkenaan membabitkan idea pengajaran yang inovatif; kerja amal; penjagaan pastoral yang hebat; dan memberi inspirasi kepada pelajar melangkaui sekolah.

Juri pakar kemudian menyenarai pendek enam pemenang peringkat rantau, manakala bagi memilih pemenang global pula, orang awam digalakkan untuk mengundi guru pilihan mereka.

Khalifa diumumkan sebagai pemenang apabila berjaya meraih 26 peratus daripada undi terbabit, sekali gus menerima set buku serta bahan sumber digital pilihan oleh Cambridge University Press, selain pakej pembangunan profesional. Beliau juga akan dipaparkan pada buku teks baharu Cambridge University Press Education mulai Februari 2023.

Berita Harian X