Khamis, 26 Mei 2022 | 11:02am
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Letak jawatan menteri, keluar BERSATU sertai PBM

KUALA LUMPUR: Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

"Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

"Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Beliau dijangka ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menjelaskan peletakan jawatan itu, katanya beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM. Ini kerana sokongan kepada kerajaan sekarang adalah selari dengan pendirian PBM.

"Saya sudah membuat pertimbangan yang mendalam untuk menyertai PBM dan mempercayai dengan perjuangan parti itu serta tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara.

"Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi terutama menjelang pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Menurut Zuraida, penyertaan beliau ke parti itu akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara.

"Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN dalam barisannya," katanya yang turut berterima kasih atas sokongan padu diterima sepanjang perkhidmatan di dua kementerian.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Kabinet.

"Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka," katanya.

Menurut Zuraida, beliau sudah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir ini sebagai Ahli Parlimen Ampang.

"Sepanjang pembabitan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat," katanya.

Berita Harian X