Selasa, 24 Mei 2022 | 4:11pm

Pulau Pinang sedia pertimbang lulus tanah TOL tanam jagung bijirin

BAYAN LEPAS: Kerajaan Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan permohonan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti penanaman jagung.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyambut baik usaha itu dalam membantu meningatkan bekalan bijirin dalam negara, namun berpendapat penanaman jagung berskala besar tidak sesuai di negeri ini yang mempunyai keluasan tanah terhad.

Katanya, setakat ini hanya penanaman padi dalam skala besar diusahakan di kawasan Seberang Perai Utara.

"Buat masa ini, permohonan untuk tanah TOL kebanyakannya untuk penanaman buah-buahan dengan tempoh pegangan perlu diperbaharui setiap tahun, kurang sesuai untuk membekalkan hasil bagi jangka panjang.

"Namun, jika ada pemohonan untuk tanaman ini (jagung bijirin), pihak berkuasa negeri akan pertimbangkan. Walaupun keluasan tanah di negeri ini kecil, aktiviti pertanian dan penternakan memang digalakkan.

"Keluasan tanah TOL juga cuma sekitar 10,000 kaki persegi dan terdapat plot-plot kecil untuk individu, sekitar 2,000 hingga 5,000 kaki persegi yang kerap dimohon dari semasa ke semasa untuk aktiviti pertanian," katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di sini hari ini, mengulas keputusan mesyuarat Kabinet semalam supaya kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, berkata keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang antara negeri yang mempunyai tahap kemampuan tinggi untuk berdikari dalam bidang penternakan serta sektor perikanan, termasuk aktiviti penternakan makanan laut dalam sangkar dan sebagainya.

"Hasil laut dari negeri ini yang turut dieksport adalah antara yang terbesar menyumbang kepada sektor ekonomi kita, malah hasil padi juga antara yang tertinggi disumbangkan kepada ekonomi negeri," katanya.

Mengulas isu kekurangan bekalan ayam dan makanan lain di negeri ini, beliau berkata, mengikut laporan yang dikemukakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, bekalan ayam dan daging mencukupi di Pulau Pinang.

"Namun, dengan isu kekurangan bekalan yang dihadapi pada masa ini, JPV diharap dapat memantau hasil dari ladang-ladang ternakan di negeri ini. Sekiranya bekalan untuk negeri cukup, kita mengalakkan ia dihantar ke negeri berdekatan yang menghadapi kekurangan bekalan," katanya.

Setakat ini, katanya, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai kekurangan bekalan makanan yang meruncing di Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow ketika hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Atrium PDC, Bayan Lepas. - NSTP/MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow ketika hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Atrium PDC, Bayan Lepas. - NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X