Selasa, 24 Mei 2022 | 12:20pm

HFMD meningkat 20 kali ganda - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 2,379 kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sehingga Sabtu lalu, meningkat 20 kali ganda iaitu sebanyak 47,209 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah berkenan, Selangor menyumbang kes terbesar iaitu sejumlah 13,640 kes atau 28.9 peratus, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 6,209 kes (13.1 peratus) dan Perak (4,099 kes).

Peningkatan kes HFMD itu turut dilaporkan di Kelantan dengan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) manakala, negeri lain mencatatkan kurang daripada 2,500 kes.

Kes HFMD bagi Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 adalah sebanyak 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara, iaitu peningkatan adalah sebanyak 106.6 peratus.

Peningkatan kes pada ME 20/2022 sudah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk di negara ini semasa sambutan Aidilfitri.

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, terdapat tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun ini iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

"Pada tahun ini, terdapat dua kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan kedua-dua kes berkenaan adalah kanak-kanak berusia bawah enam tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor, kini sudah melebihi paras amaran.
Penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor, kini sudah melebihi paras amaran.

Dr Noor Hisham berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes (93 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dengan 2,765 kes (6 peratus) dan selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (1 peratus).

Majoriti lokasi penularan wabak ini berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61 peratus), diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35 peratus) serta pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (3 peratus).

Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sudah menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan pra-sekolah, selain mengeluarkan surat 'alert'.

"Sesi libat urus ini sudah diadakan sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hingga Sabtu, sebanyak 5,124 premis sudah diperiksa; premis diberi tunjuk ajar serta dipantau pelaksanaan disinfeksi (3,157) dan penutupan premis secara sukarela (41) serta 138 premis ditutup mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan untuk tidak membawa anak ke tempat berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan," katanya.

Berita Harian X