Selasa, 24 Mei 2022 | 10:44am
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi malam tadi. - Foto JBPM
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi malam tadi. - Foto JBPM

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi

NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini terbakar semula malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan Sungai Bakap ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.34 malam berhubung insiden itu.

"Kebakaran membabitkan keluasan seluas 200x200 kaki persegi (18.5 meter persegi) dan kerja pengawalan menggunakan kaedah 'fire break' dilaksanakan bagi mengelak merebak lebih luas.

"Tiada mangsa dalam kejadian ini dan usaha memadam serta pengawalan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Operasi pemadaman turut dibantu BBP dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berdekatan ditamatkan jam 3 pagi.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung seluas 11.3 hektar terbakar sehingga menyebabkan kualiti udara di kawasan sekitar terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram itu dilaporkan kira-kira jam 5 petang pada 12 Januari lalu dan penduduk berhampiran sudah diminta berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan terbabit lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan air serta tambakan tanah.

Operasi pemadaman mengambil masa lebih sebulan di kawasan tapak pelupusan sampah itu.

Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, penduduk dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah itu diarah mengosongkan kediaman mereka dan berpindah ke dua PPS yang dibuka akibat kawasan kediaman mereka tercemar dengan udara tidak sihat. Seramai 44 orang daripada 10 keluarga di situ ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah sejak 16 Januari lalu, hanya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kualiti udara di kawasan berkenaan disahkan selamat.

Berita Harian X