Isnin, 23 Mei 2022 | 11:52pm
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah

40,729 jawatan diluluskan tahun ini KPPA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,729 jawatan diluluskan tahun ini untuk pengisian di kementerian, jabatan dan agensi, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata, tumpuan keperluan pengisian jawatan itu bagi pengoperasian fasiliti yang sudah siap dan skim perkhidmatan kritikal di sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan serta penguatkuasaan.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa komited terhadap keperluan pengisian jawatan bagi semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Keluarga Malaysia pada tahap optimum dan terbaik, apatah lagi ketika negara sedang berada di fasa peralihan endemik dan pemulihan negara.

"Semua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengikut kelayakan dan peraturan sedia ada bagi pengisian jawatan yang diluluskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Shafiq berkata, penetapan etika berpakaian kepada pelanggan yang hadir berurusan di jabatan kerajaan adalah bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, selain selaras prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

"Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom dan Australia serta negara ASEAN seperti Filipina dan Thailand.

"Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada Keluarga Malaysia sentiasa relevan, JPA melalui ketua jabatan terus memperkukuh program latihan kepada petugas kaunter di barisan hadapan dan menyebarluas kefahaman sedia ada mengenai etika berpakaian pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita baru-baru ini berkaitan etika berpakaian kepada pelanggan hadir berurusan di jabatan kerajaan yang menyebabkan ketidakselesaan kepada segelintir pelanggan.

Mohd Shafiq berkata, selaras hasrat kerajaan mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, Keluarga Malaysia digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang disediakan, sekali gus dapat mempercepat akses terhadap perkhidmatan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian sudah dibangunkan.

"Keluarga Malaysia boleh mencapai perkhidmatan secara menyeluruh (end-to-end services) melalui portal MyGovernment dan satu Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway)," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X