Isnin, 23 Mei 2022 | 7:25pm
Anak yang bergejala jangkitan HFMD perlu segera dibawa berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat. -Foto hiasan
Anak yang bergejala jangkitan HFMD perlu segera dibawa berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat. -Foto hiasan

Pengusaha taska, tadika, pengasuh disarankan lakukan saringan HFMD

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) menyarankan pengusaha taska, tadika dan juga rumah pengasuh supaya melakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada gejala jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) memasuki premis dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor'Aishah Abu Bakar, berkata tanda-tanda jangkitan HFMD ialah ulser di mulut, ruam atau lepuh di tangan dan kaki.

"Jangkitan HFMD cepat menular terutamanya dalam kalangan kanak-kanak jika mereka mempunyai kontak dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Nor'Aishah turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda HFMD untuk tidak membawa anak ke tempat awam termasuk taska, tadika atau sekolah bagi mengelak jangkitan merebak.

"Bawa anak yang bergejala jangkitan HFMD segera berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat. Kanak-kanak dengan tanda-tanda jangkitan HFMD juga perlu menggunakan peralatan makanan dan minuman yang berasingan dan tidak berkongsi barang-barang dengan anak yang lain," katanya.

Menurutnya, masyarakat juga digalakkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh/merawat ruam/lepuh jangkitan HFMD dan semasa mencuci najis kanak-kanak.

Dr Nor'Aishah berkata, selain itu pembuangan lampin pakai buang perlu dipastikan dibuat dengan betul dan lantai rumah terutamanya tandas hendaklah dibersihkan menggunakan disinfektan mengandungi bahan berasaskan klorin.

Sementara itu, Dr Nor'Aishah berkata, kes HFMD di Kuala Lumpur dan Putrajaya terus menunjukkan peningkatan bermula pertengahan Mac lepas hingga hari ini dengan hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 iaitu pada 21 Mei sejumlah 6,197 kes HFMD telah dilaporkan kepada JKWPKL&P.

Menurut Dr Nor'Aishah, perkembangan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding 403 kes yang dicatatkan pada ME yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/2022 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME 19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2 peratus.

Katanya, sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbanding 32 wabak yang dicatatkan pada ME yang sama pada 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 12 kali ganda.

Dr Nor'Aishah berkata, kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi yang sama, dan di lokaliti yang sama.

Beliau berkata, JKWPKL&P sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di Kuala Lumpur dan Putrajaya khasnya dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan transmisi jangkitan dalam komuniti.

Dr Nor'Aishah berkata, jabatan itu turut mengharapkan sokongan masyarakat untuk sentiasa cakna berkenaan gejala HFMD dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran terutamanya mengamalkan kaedah mencuci tangan dengan betul.

Sentiasa melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM) di https://www.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini kes HFMD, katanya.

– BERNAMA

TAG: KKM, HFMD, Kuala Lumpur, Putrajaya, taska, tadika, saringan

Berita Harian X