Isnin, 23 Mei 2022 | 7:00pm
Aminuddin (atas jentera) melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Taman Kirby Labu, di Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Aminuddin (atas jentera) melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Taman Kirby Labu, di Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

Penantian 22 tahun bekas pekerja Ladang Kirby berakhir

SEREMBAN: Masalah kediaman bagi 44 bekas pekerja estet Ladang Kirby, Labu di sini, yang berlarutan selama 22 tahun tanpa sebarang penyelesaian, bakal berakhir apabila pembinaan projek rumah mampu milik (RMM) Taman Kirby dimulakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) telah memutuskan untuk melaksanakan RMM di atas tujuh lot tanah milik Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) berkeluasan 4.2 hektar di Ladang Kirby, Mukim Labu, di sini.

Katanya, pihaknya juga bersetuju untuk menawarkan setiap bekas pekerja estet terbabit menerima pemilikan rumah jenis Type A secara pemilikan sendiri mahupun secara sewa beli dengan subsidi turut disediakan kepada mereka yang layak.

"Pada mulanya harga jualan bersubsidi yang ditawarkan kepada setiap bekas pekerja estet terbabit adalah RM45,000, namun setelah mengambil kira kemampuan setiap daripada mereka, kerajaan negeri bersetuju untuk menurunkan lagi harga jualan seunit RMM Type A bersubsidi kepada hanya RM36,000 sahaja .

"Seramai 36 daripada keseluruhan 44 bekas pekerja estet setelah mengambil kira pekerja yang mempunyai pasangan suami atau isteri mendapat manfaatnya.

"Kita (kerajaan negeri) bersetuju untuk memberikan subsidi tambahan sewaan rumah sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 24 bulan atau sehingga projek RMM ini disiapkan.

"Ia bagi meringankan beban 13 keluarga bekas pekerja estet yang kini tidak mempunyai kediaman sementara untuk berpindah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Taman Kirby di Labu, di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, menerusi langkah itu, jumlah keseluruhan subsidi yang disediakan kerajaan negeri kepada bekas pekerja estet terbabit adalah sebanyak RM1.74 juta.

Menurutnya, projek berkenaan membabitkan pembinaan 212 unit RMM yang terdiri daripada 100 unit Type A dengan harga jualan bermula pada RM80,000 dan 112 unit rumah Type C dengan harga jualan bermula RM370,000.

Katanya, sebanyak 203 unit rumah lagi akan dibangunkan di kawasan berkenaan ini merangkumi 94 unit Type A dan 109 unit Type C teres setingkat, yang akan dijual kepada orang awam yang berminat.

"Projek pembinaan rumah ini akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada Februari 2024.

"Projek ini akan menjadi satu lagi bukti komitmen kerajaan negeri untuk terus membela nasib rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik," katanya.

Isu hak perumahan pekerja ladang terbabit berlaku selama lebih dua dekad selepas mereka diarah berpindah.

Pekerja berkenaan dikatakan tidak selesa untuk keluar dari ladang tanpa satu perjanjian dan akhirnya perkara itu dapat diselesaikan dengan perjanjian dan surat jaminan yang diberikan oleh pemaju disaksikan peguam mewakili pekerja ladang terbabit.

Berita Harian X