Isnin, 23 Mei 2022 | 3:16pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keluar selepas perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keluar selepas perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

'Setiausaha yang cuai, kenapa saya yang kena' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mempersoalkan mengapa beliau yang dituduh di mahkamah atas kesalahan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi, sedangkan perbuatan itu disebabkan kecuaian bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, dalam membuat transaksi pembayaran kad kredit milik beliau.

"Inilah, saya sendiri tidak faham. Kenapa bayar lebih dan kadang-kadang bayar kurang (pembayaran kad kredit). Ertinya ini cuai. yang kena saya. Adakah ini satu keadilan?" Soal Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada sesi pemeriksaan utama ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zaidi ketika itu menyoal anak guamnya berhubung transaksi lebihan dan kekurangan pembayaran kad kredit Ahmad Zahid menggunakan duit yayasan, yang dibuat oleh Mazlina.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lebihan dan kekurangan pembayaran kad kreditnya adalah disebabkan kecuaian yang diakui sendiri oleh Mazlina, dalam mengendalikan perbelanjaan kad kredit berkenaan.

Malah menurut beliau, Mazlina ketika memberikan keterangan menyatakan tidak tahu, tidak pasti, dan tidak ingat berhubung pengurusan bil kad kredit terbabit.

Katanya, beliau juga tidak pernah membenarkan Mazlina yang juga saksi ke-90 pendakwaan untuk menggunakan cop tandatangan atau cek pra-tandatangan bagi pembayaran kad kredit peribadi dan polisi insurans kenderaan miliknya.

"Sebagai banker yang terlatih dan berpengalaman, sekiranya saya tahu Mazlina berkelakuan sebegini, saya tidak akan beri kebenaran dan akan menghentikan perbuatannya serta merta.

"Mazlina sendiri tidak pernah menyerahkan dan menunjukkan kepada saya sebarang penyata kad kredit bulanan dan cek dikeluarkan olehnya. Sekiranya penyata kad kredit bulanan dan cek itu diserahkan atau ditunjukkan kepada saya, saya tidak akan memberi kebenaran terhadap pembayaran itu.

"Begitu juga penyata bank bulanan peribadi milik saya dan Yayasan Akalbudi tidak pernah ditunjukkan kepada saya walaupun telah diminta daripada Mazlina. Saya ingin menegaskan bahawa saya akan menghentikan perbuatan Mazlina sekiranya mengetahui beliau mengeluarkan pembayaran secara lebihan dan pembayaran yang kurang bagi tujuan pembayaran kad kredit saya," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, beliau tiada pengetahuan peribadi sama sekali bahawa Mazlina menyalahgunakan cop tandatangannya untuk membuat pembayaran kad kredit berkenaan dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

Berita Harian X