Isnin, 23 Mei 2022 | 11:38am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Penularan COVID-19 negara tunjuk trend penurunan

PUTRAJAYA: Situasi wabak COVID-19 dalam negara menunjukkan perkembangan positif sepanjang Minggu Epid (ME) 20/2022 apabila beberapa indikator menunjukkan penurunan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sepanjang ME 20/2022 dari 15 hingga 21 Mei lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan penurunan kes baharu sebanyak 28.8 peratus iaitu 19,137 kes kepada 13,630 kes berbanding ME 19/2022.

Beliau berkata, bilangan kes tempatan juga menunjukkan penurunan 28.8 peratus iaitu dari 19,108 kes kepada 13,615 kes dan bilangan kes import menurun 48.3 peratus iaitu daripada 29 kes kepada 15 kes.

Turut menunjukkan penurunan adalah bilangan kes kematian pada ME 20/2022 iaitu penurunan kepada 12.1 peratus daripada 33 kes kepada 29 kes berbanding minggu epid sebelumnya.

"Bilangan kes sembuh pada ME 20/2022 meningkat sebanyak 21.1 peratus iaitu daripada 12,618 kes kepada 15,278 kes berbanding ME 19/2022," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 21 Mei 2022 (ME 20/2022), sejumlah 4,489,503 kes positif COVID-19 dikesan dengan kes aktif 28,085 kes ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini sejumlah 4,425,777 kes sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19 namun sehingga kini 35,641 kes kematian akibat COVID-19 turut dilaporkan.

Katanya, sepanjang lebih dua tahun penularan COVID-19 di Malaysia, sebanyak 7,011 kluster jangkitan dikesan dan ketika ini 34 kluster masih aktif.

Pada ME 20/2022 juga, purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) menunjukkan penurunan 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam) bagi setiap 100,000 penduduk menurun 9.0 peratus pada ME 20/2022 berbanding ME 19/2022.

"Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun 50 peratus dengan jumlah pesakit COVID-19 semua menurun 50 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, peratusan penggunaan katil bukan kritikal dan di PKRC sepanjang ME 20/2022 tidak menunjukkan perubahan tetapi ada penurunan 33 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan penurunan.

Beliau berkata, bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.2 peratus begitu juga bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah yang menunjukkan penurunan 26.6 peratus manakala bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital turut menurun 18.7 peratus.

Katanya, untuk trend kes aktif COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada ME 20/2022 juga menunjukkan penurunan kes 29.9 peratus daripada 35,167 kes kepada 24,647 kes berbanding ME 19/2022.

Berita Harian X