Ahad, 22 Mei 2022 | 7:04pm

Ubah sikap pemandu elak jadi penyumbang nahas

Sabtu minggu lalu, firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi meletakkan Malaysia antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu, pada kedudukan kelapan dengan skor keselamatan direkodkan hanya 5.63 daripada 10.

Ia seperti memberi gambaran kes nahas jalan raya di negara kita sudah lumrah, menimbulkan persoalan sejauh mana sistem pembelajaran memandu di Malaysia berupaya melahirkan pemandu berhemah, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

Wartawan BH Ahad, Suzalina Halid dan Azizah Mokhtar mendapatkan reaksi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rozmi Ismail.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Bernama

Soalan (S): Apa pendapat Datuk Seri mengenai dapatan daripada firma Zutobi?

Jawapan (J): Sebenarnya, majoriti rakyat Malaysia pemandu kenderaan berhemah, bertimbang rasa dan patuh peraturan jalan raya. Hanya segelintir mempunyai sikap tidak baik, tidak mematuhi peraturan dan tidak bertimbang rasa. Dalam hal ini, sikap pemandu itulah sebenarnya satu penyebab utama pemanduan tidak selamat, tidak berhemah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Antara kesalahan seperti memandu melebihi had laju, memotong di laluan tidak dibenarkan, melanggar lampu isyarat, mengubah suai kenderaan, memandu menggunakan telefon bimbit, tidak mematuhi peraturan keselamatan komponen dan sistem kenderaan serta membawa barang melebihi muatan. Ia bukan disebabkan kurang peraturan jalan raya atau kekurangan tahap sistem infrastruktur jalan. Dalam hal ini, perubahan sikap amat penting bagi mengubah imej dan keadaan tidak selamat ini.

S: Maksud Datuk Seri, sikap pemandu sendiri yang menyumbang kepada faktor itu?

J: Benar dan semua pihak, bukan saja agensi kerajaan, tetapi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai sendiri mempunyai peranan mengubah sikap ini. Kerajaan boleh menghabiskan jutaan ringgit melaksanakan program advokasi, pendidikan serta menggiatkan aktiviti penguatkuasaan, tetapi akhirnya individu itu sendiri sebagai pemandu dan pengguna jalan raya perlu berubah dan mematuhi peraturan jalan raya.

S: Bagaimana sikap sedemikian boleh diubah?

J: Sikap manusia ini boleh dibimbing. Pertama, melalui pendidikan atau advokasi berterusan dan kedua, melalui aktiviti penguatkuasaan. Ia terbukti di kawasan yang dipasang kamera perangkap had laju, pemandu mematuhi peraturan had laju ditetapkan.

Pada masa sama, tahap kompetensi pemandu juga akan dipertingkat dan dilaksanakan di peringkat mendapatkan lesen memandu. Antara usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mempertingkatkan tahap kualiti dan integriti kompetensi pemandu mendapatkan lesen adalah dengan memperkenalkan sistem e-testing di institut memandu (IM), iaitu penggunaan sistem komputer dan sensor bagi menilai pengujian praktikal di litar dan jalan raya.

S: Bagaimana pula dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA)?

J: Sistem KEJARA bertujuan memimpin dan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengulangi sebarang kesalahan atau peraturan jalan raya bagi jenis kesalahan yang dilakukan. Ia juga berupaya mendidik orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya dan bagi individu yang kerap atau mengulangi kesalahan sama atau kerap melanggar peraturan jalan raya, akhirnya boleh digantung lesen memandu mereka untuk tempoh ditetapkan atau dibatalkan terus. Ini akan mengeluarkan mereka yang tidak bertanggungjawab daripada terus memandu di jalan raya dan akan diperlukan untuk menjalani semula proses pembelajaran mendapatkan semula lesen memandu.

S: Dalam kes lima sahabat maut di Ipoh baru-baru ini, pemandu treler didapati mempunyai lebih 20 kesalahan trafik. Adakah sistem KEJARA tidak diguna pakai dalam hal sebegini atau berlaku perlanggaran peraturan?

J: Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemandu treler terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah sistem KEJARA. Penggantungan lesen memandu hanya boleh dilaksanakan selepas individu diberikan 20 atau lebih mata demerit terkumpul.

Rakyat Malaysia perlu lebih peka dan berhati-hati memandu bagi mengelak terbabit nahas. - Foto hiasan
Rakyat Malaysia perlu lebih peka dan berhati-hati memandu bagi mengelak terbabit nahas. - Foto hiasan

S: Negara mencatatkan satu kematian akibat nahas jalan raya bagi setiap 84 minit. Adakah keadaan jalan atau aspek penguatkuasaan turut menjadi punca?

J: Benar, terdapat faktor lain yang menyebabkan kematian akibat nahas jalan raya seperti keadaan infrastruktur jalan dan komponen teknikal kenderaan. Pihak berkuasa berkaitan yang menguruskan jalan sentiasa mengambil langkah bagi membina dan membaiki infrastruktur jalan kurang selamat atau di kawasan black-spot.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melalui program model penilaian jalan raya antarabangsa (iRAP) juga melaksanakan sesi audit terhadap jalan dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan dan berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa berkenaan bagi tindakan intervensi selanjutnya.

Dari aspek penguatkuasaan pula, kita sentiasa berdepan kekangan dengan kemampuan dan jumlah anggota penguat kuasa yang ada di JPJ. Oleh itu, kita menggunakan peralatan automatik seperti kamera Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) untuk menguatkuasakan peraturan had laju.

Pada masa ini, MOT dan Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang bekerjasama untuk membangunkan sistem weigh in motion (WIM) bagi tujuan menguatkuasakan peraturan had berat muatan kenderaan membawa muatan di atas jalan. Aktiviti penguatkuasaan di lapangan akan berupaya mendidik pemandu. Program advokasi juga boleh dan akan diteruskan bagi tujuan sama.

S: Perlukah kajian semula dalam aspek undang-undang bagi mengurangkan kemalangan jalan raya?

J: MOT dan JPJ sentiasa meneliti peraturan sedia ada bagi memastikan semuanya relevan dan tahap keselamatan jalan raya sempurna kepada pengguna. Penelitian ini membabitkan semua pihak berkuasa berkenaan dan pihak berkepentingan. Seperti yang dilaksanakan pada 2020, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dipinda bagi meningkatkan hukuman berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau mabuk melebihi had ditetapkan. Pindaan sebegini sebagai satu bentuk pengajaran atau deterrence kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya.

Didik pemanduan berhemah sejak kecil

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Prof Dr Rozmi Ismail.
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Prof Dr Rozmi Ismail.

Soalan (S): Apa pandangan Prof terhadap data dikeluarkan Zutobi berkaitan negara kita?

Jawapan (J): Laporan itu kadang-kadang tidak tepat kerana ia melaporkan mengenai kemalangan di seluruh negara mengikut statistik tahunan direkodkan jabatan pengangkutan setiap negara terbabit. Kebetulan jumlah kemalangan di negara kita antara yang tertinggi, maka Zutobi mengeluarkan ranking daripada yang tertinggi sehingga terendah. Bagaimanapun, kalau kita buat perbandingan dengan negara lain, ia agak tidak begitu tepat dan berat sebelah kerana di Malaysia, yang paling banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan adalah motosikal.

Lebih 70 peratus daripada rekod kemalangan maut juga membabitkan motosikal. Daripada setiap 10 kemalangan maut, tujuh kematian membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal. Negara lain pula kebanyakannya adalah kemalangan kenderaan motokar (kereta), maka laporan berkenaan tidak begitu tepat. Maka saya rasa kita tidak boleh bergantung kepada data daripada ranking dibuat dan dibandingkan dengan negara lain. Kita kena lihat juga dari segi kes demi kes.

S: Adakah sikap pemanduan atau keadaan jalan raya menjadi penyebab peningkatan kes kemalangan?

J: Berdasarkan kajian saya dan kebanyakan kajian lain di dunia, faktor utama kemalangan adalah manusia yang mengendalikan kenderaan itu. Terdapat juga faktor lain, tetapi ia adalah faktor berkait sahaja dengan faktor utama tadi. Contohnya, jalan raya kurang baik turut menyumbang kemalangan, tetapi jumlah kes tidak begitu banyak. Kebanyakan kemalangan berpunca daripada faktor manusia disebabkan kecuaian, terlalu laju, tidak mematuhi peraturan seperti memotong di garisan berkembar, tidak melihat dengan betul atau lambat menekan brek.

Dalam keadaan tertentu, memang kita tidak dapat nafikan ada faktor kombinasi, contohnya jalan berlubang dan ditambah pemandu memandu laju atau hujan dan air bertakung di jalan. Apabila kenderaan dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan. Maka apabila faktor lain ini bergabung dengan faktor manusia, ia mendorong kemalangan. Dalam pada itu, antara faktor lain menyebabkan kemalangan serius adalah kualiti kenderaan.

Kalau kita lihat dari segi aspek keselamatan dan juga reka bentuk kereta dari Eropah, misalnya Jerman, kebanyakan negara itu mengeluarkan kenderaan mempunyai spesifikasi sangat bagus dari aspek keselamatan dan sekiranya kemalangan, ada perlindungan yang baik kepada pemandu dan penumpang, maka sebab itu harganya agak tinggi.

Bagaimanapun, saya tidak mengatakan kereta buatan tempatan dan Asia tidak mempunyai kualiti baik atau tidak selamat, cuma ciri-ciri keselamatan dalaman dan kekuatan kerangka serta badan kereta itu agak kurang sedikit berbanding kereta kontinental. Apabila berlaku kemalangan, peluang untuk mereka yang berada dalam kenderaan itu mendapat kecederaan serius atau kematian itu agak tinggi.

S: Apakah undang-undang berkaitan jalan raya di negara ini cukup tegas untuk mencegah dan membendung cara pemanduan kurang selamat sehingga menyumbang kemalangan?

J: Dari segi undang-undang, negara kita mempunyai peraturan dan undang-undang lengkap. Atas kertas, memang tip top, tidak kira sama ada diguna pakai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, apabila masuk elemen penguatkuasaan, pihak berkuasa mungkin terlalu berlembut, terlalu mengambil kira aspek kemanusiaan seperti memberikan diskaun kepada saman kesalahan. Namun kita tidak boleh salahkan pihak berkuasa kerana kebanyakan rakyat kita, terutama pengguna motosikal adalah golongan sosioekonomi rendah dan kurang berkemampuan untuk membayar saman. Maka perkara ini mempengaruhi pelaksanaan undang-undang itu sendiri. Justeru, pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk menambah baik pelaksanaan undang-undang.

Penambahbaikan sistem pembelajaran pemanduan antara yang boleh dilaksana bagi melahirkan pemandu berhemah. - Foto hiasan
Penambahbaikan sistem pembelajaran pemanduan antara yang boleh dilaksana bagi melahirkan pemandu berhemah. - Foto hiasan

S: Mengapa masih ramai pengguna jalan raya kurang berdisiplin dan berani melanggar peraturan walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang?

J: Bukan tidak ada undang-undang, tetapi masalah penguatkuasaan yang agak kurang berkesan. Kalau kita lihat undang-undang ketika berhadapan COVID-19 sebagai contoh, pelbagai akta dan undang-undang digunakan kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19, selain menetapkan nilai kompaun tinggi sehingga menjadikan orang ramai takut dan mendorong mereka mematuhi segala peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Agak menghairankan kenapa dalam aspek keselamatan jalan raya, kerajaan tidak mempunyai pendirian sama seperti peraturan dan undang-undang yang sangat efektif untuk menangani COVID-19.

S: Apa pandangan Prof terhadap Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA)?

J: Sistem demerit mata adalah langkah paling baik untuk mengelak pemandu mempunyai banyak saman trafik kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain. Pemandu yang mengumpul mata demerit atas saman trafik perlu dipantau dan jika sampai jumlah mata maksimum, maka lesen mereka perlu dibatalkan atau digantung untuk tempoh tertentu serta tidak dibenarkan memandu kerana mereka berbahaya dan tidak wajar dibenarkan berada di atas jalan. Apa yang mengecewakan, kerajaan sudah memperkenalkan Sistem KEJARA beberapa tahun lalu, tetapi tidak dikuatkuasakan dengan baik kerana difahamkan, ia mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik, pihak berkepentingan dalam perniagaan dan syarikat pengangkutan.

S: Apa cara paling efektif mendisiplinkan pengguna jalan raya di negara ini dari segi sikap, kesedaran dan kadar kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang?

J: Terdapat dua komponen utama dalam membentuk sikap baik dan disiplin pemanduan. Pertama adalah pendidikan yang boleh dimulakan pada peringkat awal kepada kanak-kanak di sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan seterusnya sehingga mereka dewasa dan mendapat lesen memandu. Pendidikan perlu fokus kepada tabiat dan budaya memandu baik seperti diterapkan di Jepun, yang mana mereka amat berdisiplin ketika memadu.

Komponen kedua adalah penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan dan pihak berkuasa perlu seiring menguatkuasakan segala peraturan dan menerapkan budaya pemanduan selamat melalui kempen, iklan selain peranan media mendidik masyarakat.

S: Adakah kekurangan penguatkuasaan menjadikan pengguna jalan raya di negara kita tidak mengambil berat soal keselamatan, kerap langgar peraturan atau sikap, tingkah laku buruk itu memang sukar diubah?

J: Dua perkara, iaitu penguatkuasaan dan budaya pemanduan rakyat Malaysia saling berkait. Apa yang jelas, sekiranya budaya tidak elok ditunjukkan orang dewasa, maka perkara itu dicontohi golongan muda dan kanak-kanak apabila mereka meningkat dewasa. Sama juga dalam tingkah laku dan budaya pemanduan, sekiranya kita memberikan contoh tidak baik, ia secara langsung akan mempengaruhi pemikiran anak-anak dan apabila mereka dewasa dan memandu, mereka turut melanggar peraturan.

Kedua, penguatkuasaan undang-undang tidak begitu mantap juga menyumbang kepada sikap pemandu kerana mereka berasakan segala tingkah laku buruk ketika memandu, boleh terlepas daripada tindakan atau tidak akan dikenakan tindakan tegas.

Berita Harian X