Ahad, 22 Mei 2022 | 6:15pm

Cegah penularan cacar monyet, pelalian cacar boleh diperkenalkan semula - Pakar

PUTRAJAYA: Pelalian terhadap cacar boleh diperkenalkan semula jika perlu berdasarkan penilaian semasa, bagi mencegah penularan cacar monyet di negara ini.

Saintis virologi di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata langkah berjaga-jaga itu boleh diambil, namun kaedah kesihatan awam masih dapat dan amat efektif dalam menangani penularan cacar monyet.

Beliau menjelaskan, ia berikutan cacar monyet tidak begitu senang menular berbanding virus pernafasan lain.

"Kita tidak mungkin dapat menyediakan vaksin untuk semua jenis virus atau penyakit.

"Maka, perlu ada keutamaan terhadap jenis virus atau penyakit yang berbahaya dan biasanya memberi kesan besar.

"Ini terpulang kepada penilaian oleh pihak berwajib dengan mengambil kira pandangan pakar," katanya kepada BH.

Dr Muhammad Amir berkata, cacar monyet adalah sejenis penyakit jarang ditemui dan secara tipikal berlaku di rantau Afrika sebelum ini, walaupun kini mula menjangkau ke benua Amerika dan Eropah.

Beliau memaklumkan setahunya, belum ada vaksin khusus untuk mengawal cacar monyet berbanding wabak daripada keluarga sama, iaitu cacar (smallpox).

Bagaimanapun, katanya, penularan wabak itu boleh dikawal menggunakan vaksin yang sama untuk cacar.

"Namun, keberkesanannya berkemungkinan lebih rendah, ada yang menyatakan antara 80 hingga 85 peratus.

"Ketika ini, ada beberapa ubat antivirus untuk merawat cacar monyet dan poxvirus lain," katanya.

Menyifatkan ia sebagai agak aneh apabila penyakit cacar monyet yang mula dikenal pasti dalam kalangan manusia pada 1970 itu kini berada di luar benua Afrika, Dr Muhammad Amir berkata, faktor yang amat ketara menyumbang kepada penularannya ialah pergerakan manusia secara global.

Katanya, peningkatan bilangan pengembara kini, terutama dari negara-negara yang sedang dilanda wabak, secara langsung menyebabkan jangkitan penyakit turut mudah merebak.

Selain itu, beliau berkata, trend memiliki haiwan peliharaan eksotik seperti monyet juga berkemungkinan menyumbang kepada kejadian wabak berkenaan menular ke luar benua Afrika.

"Bagi kes poxvirus ini, mod penularan yang penting ialah sentuhan secara langsung dengan pembawa atau pesakit atau haiwan terbabit.

"Justeru, jika boleh diadaptasikan untuk mewajibkan penduduk dan rakyat negara ini mengambil vaksin jangkitan sedemikian sebelum memulakan perjalanan ke negara berisiko, adalah sangat baik.

"Ia bagi melindungi rakyat kita. Selain itu, jika tidak ada keperluan untuk ke negara berkenaan, sebaik-baiknya elak perjalanan ke kawasan terbabit," katanya.

Ditanya sama ada kesan gejala cacar monyet seperti keradangan nodus limfa dan benjolan boleh menjadi kekal, Dr Muhammad Amir menjelaskan ia seperti jangkitan campak, cuma saiznya secara tipikal lebih besar.

Beliau berkata, ia juga akan kering dan pulih, namun tidak menolak kemungkinan ada parut yang mengambil masa lama untuk hilang.

"Ia mempunyai sindrom sama seperti cacar, iaitu wujud 'bumped poxes' pada muka dan badan, namun cacar monyet turut membabitkan keradangan pada nodus limfa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata berdasarkan pengetahuannya, vaksin cacar tiada dalam negara, manakala belum ada saranan KKM untuk mengambil vaksin berkenaan bagi mencegah cacar monyet.

"Sama ada wajar atau tidak untuk memperkenalkan semula vaksin cacar, adalah bergantung pada kadar penularan dan keberkesanan vaksin itu dalam mencegah jangkitan cacar.

"Buat masa ini, terlalu banyak ketidaktentuan tetapi KKM lebih tahu mengenai perkembangan semasa kes cacar monyet kerana mereka berhubung terus dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Justeru, kita tunggu kenyataan KKM," katanya.

Berita Harian X