Ahad, 22 Mei 2022 | 12:25pm
Orang ramai membeli ayam segar dengan harga RM8.90 hingga RM11.00 sekilogram di Pasar Datuk Keramat. - Foto NSTP
Orang ramai membeli ayam segar dengan harga RM8.90 hingga RM11.00 sekilogram di Pasar Datuk Keramat. - Foto NSTP

Cadangan zon kekal pengeluaran ayam wajar diberi perhatian serius

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan mewujudkan zon kekal pengeluaran ayam bagi menstabilkan harga dan menjamin bekalan ayam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyelesaian jangka panjang itu bukan sahaja dikatakan menjimatkan, malah mengekalkan kadar kompetitif pengeluaran ayam untuk rakyat negara ini.

"Ketika ini rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam manakala golongan peniaga terbeban.

"Paling dikhuatiri kekurangan bekalan ayam akan menyebabkan harga ikan terus meningkat apabila permintaannya pula bertambah," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menguasai industri penternakan ayam untuk menangani isu kekurangan bekalan itu.

Menerusi laporan BH, isu kekurangan bekalan ayam dalam pasaran bermula sejak Oktober tahun lalu, apabila pengeluaran ayam daripada ladang tempatan tidak mencapai kadar keperluan negara.

Secara keseluruhannya, purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta ayam sebulan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, isu berhubung bekalan ayam sudah lama diketahui sejak pandemik COVID-19, tetapi belum ada mekanisme yang efisien untuk menyelesaikan perkara itu.

"Implikasi permasalahan bekalan ayam tentu tidak begitu teruk jika kementerian berkaitan bersama penternak sudah mencapai titik persefahaman sebelum ini.

"Akibatnya terdapat dakwaan beberapa syarikat-syarikat penternak ayam bertindak menghentikan operasi ladang mereka.

"Pemberhentian operasi ladang itu dikatakan bagi memboikot tindakan lambat kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen," katanya.

Berita Harian X