Ahad, 22 Mei 2022 | 12:00pm
Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan IdrisShah (tiga kiri), bersama bekas pelajar SK Clifford di majlis pelancaran Taman Buluh SKCKK, baru-baru ini. - Foto OCA
Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan IdrisShah (tiga kiri), bersama bekas pelajar SK Clifford di majlis pelancaran Taman Buluh SKCKK, baru-baru ini. - Foto OCA

Taman Buluh SK Clifford bakal jadi ikon Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Sekolah Kebangsaan Clifford (SKCKK) di sini muncul sekolah kebangsaan pertama di negara ini mempunyai taman buluh.

Taman Buluh atau Bambusetum berkenaan akan menempatkan koleksi 20 spesies buluh dengan 10 spesies sudah sedia ditanam menerusi projek inisiatif bersama Persatuan Lepasan Sekolah Clifford Kuala Kangsar (OCA) dan Persatuan Buluh Malaysia (MBS).

Pelancarannya disempurnakan oleh Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah sempena sambutan Aidilfitri di sekolah itu baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden OCA, Datuk Salehuddin Saidin; Presiden MBS, Datuk Dr Marzalina Mansor yang juga Ketua Biro Wanita OCA; Pengetua Sekolah Menengah Clifford, Lufti Mohd Noor; Guru Besar SKCKK, Fauzi Mohamad Zulkifli dan Ahli Jawatankuasa OCA.

Dalam majlis itu, Raja Iskandar Dzulkarnain turut menanam Buluh Gading atau Bambusa vulgaris var.striata, spesies batang berwarna kuning dengan garisan berjalur hijau, sesuai bagi menampilkan raja berjiwa rakyat.

Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dibantu Dr Marzalina menanam Buluh Gading ketika melancarkan Taman Buluh di SKCKK. - Foto OCA
Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dibantu Dr Marzalina menanam Buluh Gading ketika melancarkan Taman Buluh di SKCKK. - Foto OCA

Dr Marzalina berkata, Bambusetem yang menempatkan pelbagai spesies buluh dalam satu taman, berfungsi sebagai tempat mengumpul buluh daripada terancam atau pupus.

"Masa hadapan Taman Buluh ini akan menjadi taman rujukan dan galeri koleksi buluh. Jika mendapat tajaan, pelbagai program kokurikulum berkaitan buluh akan dibangunkan sehingga tahun 2030 untuk meningkatkan pembelajaran dan pengalaman pelajar SKCKK serta pendedahan kepada orang ramai.

"Sudah pasti Taman Buluh SKCKK ini akan menjadi satu lagi ikon kunjungan pengunjung di Kuala Kangsar pada masa depan.

"Visi dan misi MBS adalah untuk memberi pendedahan fakta dan kepentingan buluh kepada masyarakat dengan mendidik pelajar di peringkat akar umbi.

"Ini selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Malaysia untuk memacu industri buluh sebagai komoditi terbaharu negara." katanya.

Beliau juga berkata, projek Taman Buluh itu akan disiapkan dalam tempoh enam bulan itu adalah usahasama OCA dan MBS bagi mencari, menanam, mengurus dan mengendalikan taman buluh.

"Kita juga sudah memberi taklimat kepada guru dan kakitangan sekolah mengenai pengendalian taman itu pada 18 Mei lalu," katanya.

Sementara itu, Salehuddin pula berkata, kerjasama julung kali OCA bersama MBS itu bakal memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapat ilmu pengetahuan mengenai buluh, fungsi dan cintai alam sekitar.

Katanya, OCA juga berhasrat untuk meluaskan program itu ke Sekolah Menenengah Clifford juga memiliki taman buluh selain turut merancang pelbagai program menarik dalam masa terdekat, antaranya Jom Yeop Balik Kuale Makan Deroyan bersama bekas pelajar dan pelajar masih bersekolah.

"Program seperti ini ini akan dapat merapatkan silaturahim antara bekas pelajar dan pelajar sedia ada bersama guru," katanya.

Berita Harian X