Sabtu, 21 Mei 2022 | 7:38pm
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kertas siasatan kes Mohd Nazlan diserahkan kepada Peguam Negara - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

"SPRM ingin memaklumkan bahawa siasatan kes ini bermula Mac lalu sudah dilengkapkan berdasarkan bukti-bukti yang dikumpulkan, dengan siasatan dijalankan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.

"Sehubungan itu, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya," katanya.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, yang mana Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

Terdahulu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Berita Harian X