Sabtu, 21 Mei 2022 | 6:29pm
Datuk Adnan Mat (kanan) menyifatkan kenyataan Ngeh Koo Ham berhubung etika berpakaian ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab. - Foto fail NSTP
Datuk Adnan Mat (kanan) menyifatkan kenyataan Ngeh Koo Ham berhubung etika berpakaian ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab. - Foto fail NSTP

Koo Ham patut nasihat orang awam berpakaian sopan - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membidas kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berhubung etika berpakaian ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen dari DAP itu sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab, selain menegaskan beliau sebagai wakil rakyat sewajarnya bersama perkhidmatan awam menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak.

Adnan berpandangan, peraturan dikeluarkan setiap ketua jabatan dalam aspek etika berpakaian adalah wajar dipraktikkan semua pihak yang berurusan dengan mana-mana organisasi tidak kira swasta mahupun jabatan kerajaan.

Katanya, tidak wajar bagi Koo Ham memberi contoh petani berseluar pendek, Orang Asli berpakaian tradisional atau orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sopan.

"Ini kerana CUEPACS yakin setiap warga Malaysia mengetahui etika dalam kehidupan dan tidak akan sesekali melanggarnya dengan sengaja. Contoh ini sebenarnya seolah-olah menghina golongan berkenaan dan CUEPACS yakin walaupun seseorang itu miskin, mereka ini tetap kaya dengan budi pekerti dan akhlak.

"CUEPACS juga yakin penjawat awam bijak untuk menggunakan budi bicara atau melihat kepada keperluan semasa jika pelanggan yang hadir ke premis kerajaan mempunyai kesulitan tertentu untuk mematuhi etika berpakaian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Koo Ham dilapor membantah tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.

Ia susulan beberapa aduan disampaikan orang awam mendakwa perkhidmatan kerajaan kini hanya akan melayan urusan orang awam yang mengikuti kod pakaian ditetapkan pejabat.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS menegaskan agar tiada pihak cuba memainkan isu berkaitan etika berpakaian ketika berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan demi kepentingan idealogi politik masing-masing.

"Elakkan membuat serangan kepada perkhidmatan awam hanya dengan tujuan atau kepentingan politik tidak bertanggungjawab. Penjawat awam juga sentiasa menekankan aspek perkhidmatan diberikan kepada orang ramai mestilah berada pada tahap terbaik.

"Aspek kesopanan ini juga antara elemen dituntut dalam Rukun Negara iaitu "Kesopanan dan Kesusilaan." Ia sering saja diikrarkan kita. Maka dalam konteks ini sewajibnya semua pihak mengambil pandangan positif terhadap tata etika berpakaian dalam berurusan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan.

"Marilah kita bersama-sama mengamalkan semangat keluarga Malaysia yang disarankan oleh kerajaan demi kesejahteraan dan keharmonian kita semua sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X