Sabtu, 21 Mei 2022 | 6:14pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Bantuan RM200: Pesawah perlu berdaftar dengan Pejabat Pertanian

PASIR PUTEH: Hanya pesawah yang berdaftar dengan Pejabat Pertanian akan menerima bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan sementara menunggu hasil tuaian, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Justeru, beliau berkata, pesawah belum berdaftar diminta segera menghubungi Pejabat Pertanian berdekatan serta melengkapkan pendaftaran mereka bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan itu nanti.

"Kita (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) memberi jaminan, mereka yang berdaftar dengan Pejabat Pertanian saja layak mendapat bantuan itu bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Parlimen Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk tempoh enam bulan, kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.

Perdana Menteri dipetik berkata, bantuan itu telah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan Oktober depan.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, bantuan kepada pesawah itu membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan nasib golongan berkenaan.

"Bantuan itu juga memberi semangat baharu kepada golongan pesawah untuk bekerja lebih keras sebagai barisan hadapan bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi, terutama beras untuk keperluan negara," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X