Sabtu, 21 Mei 2022 | 6:04pm
Saifuddin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Jamuan Raya Parlimen dan PN Indera Mahkota, hari ini. - FOTO BERNAMA
Saifuddin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Jamuan Raya Parlimen dan PN Indera Mahkota, hari ini. - FOTO BERNAMA

Proses lantikan ketua perwakilan Malaysia ambil tempoh panjang - Saifuddin

KUANTAN: Proses melantik seseorang ketua perwakilan Malaysia di luar negara mengambil tempoh panjang dengan individu dicalonkan itu perlu melepasi pelbagai tapisan ditetapkan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, nama itu juga perlu dihantar ke negara terbabit sebagai cadangan calon untuk persetujuan, dengan ada dua kategori mereka yang boleh dilantik, termasuk dalam kalangan pegawai diplomatik yang sedang berkhidmat.

"Kerajaan juga merasakan ada keperluan untuk melantik mereka bukan daripada kalangan pegawai diplomatik. Mereka boleh terdiri daripada ahli politik, bekas ahli politik, bekas pegawai polis atau tentera dan sebagainya.

"Ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), perkara ini berlaku. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan tidak boleh ada lantikan selain daripada pegawai diplomatik, dan kerajaan kali ini memutuskan selain daripada pegawai diplomatik juga boleh dilantik," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Raya Parlimen dan Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota, hari ini.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa sekumpulan individu yang dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara, dijadualkan menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tidak lama lagi, dengan pihaknya sedang menunggu tarikh daripada Istana Negara.

Beliau berkata, terdapat 25 lagi calon sedang dalam proses untuk dilantik, yang dianggapnya jumlah agak besar kerana sudah dua tahun Malaysia tidak dapat menghantar ketua perwakilan baharu disebabkan pandemik COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X