Jumaat, 20 Mei 2022 | 5:12pm
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon (kanan) mencuba permainan untuk rawatan pemulihan pada majlis  pelancaran perkhidmatan mobile recovery treatment di bawah program rawatan dan pemulihan (MRT AADK) di Dewan Sri Akasia AADK. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon (kanan) mencuba permainan untuk rawatan pemulihan pada majlis  pelancaran perkhidmatan mobile recovery treatment di bawah program rawatan dan pemulihan (MRT AADK) di Dewan Sri Akasia AADK. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

Fokus tangani isu dadah dahulu - Hamzah

KAJANG: Kajian penggunaan kanabis dalam bidang perubatan bukan keutamaan untuk dibincangkan pada masa ini berbanding mencari kaedah terbaik menangani isu penyalah gunaan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata fokus utama kerajaan pada masa ini adalah untuk menangani segala isu berkaitan dadah di negara ini sehinggalah masalah itu dapat dikurangkan ke tahap paling minimum.

"Kalau kita nak lakukan sesuatu kita kena lihat musuh kita (dadah) nak hapuskan sudah 40 tahun, kalau kita nak tambah lagi musuh, tengok dulu.

"Kalau musuh (dadah) ini boleh kita pastikan sudah menurun, InsyaAllah segala apa yang kita lakukan (jika) ada kebaikan apa salahnya, tapi biarlah keutamaan itu menekankan pengurangan masalah yang ada pada hari ini," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan beberapa pihak tertentu berkaitan penggunaan kanabis atau ganja untuk perubatan di negara selain kajian klinikal yang dijalankan berkaitan bahan itu.

Terdahulu, Hamzah melancarkan program Perkhidmatan Rawatan Pemulihan Bergerak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (MRT AADK) Bagi Program dan Pemulihan Penagihan Dadah, di sini, hari ini.

Mengenai MRT AADK, Hamzah dalam ucapannya berkata, program itu adalah perkhidmatan yang disediakan bagi kumpulan khusus dalam kalangan penagih dadah yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK.

Katanya, AADK pada masa ini melaksanakan program merawat pulih penagih dadah berasaskan Model i-Pulih AADK melalui dua program iaitu Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Dalam Komuniti (RPDK) dikendalikan 109 pejabat AADK Daerah.

Selain itu, Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Dalam Institusi (RPDI) yang dijalankan di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara.

"Pada tahun lalu, klien AADK dalam komuniti berjumlah 73,113 orang dan dalam institusi berjumlah 7,133 orang.

"Setiap tahun, secara puratanya seramai lebih kurang 15,000 klien ini selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau daripada jumlah itu, kadar klien yang pulih hanyalah sekitar 65 peratus dengan anggaran 5,877 klien kembali menagih (relapse).

"Beberapa faktor dikenalpasti, antaranya kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga, pandangan serong masyarakat kepada bekas penagih, sikap individu itu sendiri dan pengaruh kawan-kawan.

"Sehubungan itu, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terbabit permasalahan dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan terbaik, bersesuaian dengan keperluan dan keadaan semasa mereka," katanya.

Beliau juga berkata, MRT AADK menjadi perkhidmatan alternatif yang menawarkan perkhidmatan secara bergerak dan mudah dijangkau oleh masyarakat kerana program ditawarkan lebih fleksibel yang mana pakej rawatan dan pemulihan disesuaikan mengikut keperluan klien.

Berita Harian X