Jumaat, 20 Mei 2022 | 2:23pm
 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon (kiri) dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melancarkan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) di Dewan Sri Akasia AADK. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon (kiri) dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melancarkan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) di Dewan Sri Akasia AADK. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

MRT AADK alternatif baharu rawat penagih dadah

KAJANG: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan pasukan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) bagi meluaskan capaian dan objektif agensi itu untuk memberikan khidmat merawat dan memulihkan penagih dadah terutama di luar bandar.

Kaedah itu sebagai alternatif kepada program rawatan sedia ada yang memerlukan klien untuk hadir ke fasiliti AADK atau pejabat AADK Daerah dan pusat pemulihan narkotik (PUSPEN) yang ditentukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata MRT AADK memberi perkhidmatan kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.

"Perkhidmatan ini disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh Pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK Negeri di seluruh negara.

"Setakat ini, dua pasukan MRT AADK yang terdiri daripada pegawai yang berkemahiran dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah dibentuk di setiap negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran MRT AADK di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yassin, dan Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata projek rintis MRT AADK ini sudah dilaksanakan kepada banduan yang terbabit dengan penagihan dadah pada 2021 dan mendapat respons yang baik.

"Kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara ini adalah satu pendekatan penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah banduan dadah yang 'relapse' (berulang).

"Ini juga bagi meningkatkan kadar kepatuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas mereka dibebaskan kelak," katanya.

Tambah beliau, pada masa ini terdapat lapan kakitangan AADK yang mempunyai kepakaran dalam program MRT AADK, manakala 110 orang lagi kakitangan AADK sudah dikenal pasti untuk menjalankan program itu di seluruh negara.

Selain itu, katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah membuat persiapan menggunakan perkhidmatan MRT AADK untuk merawat klien jabatan itu tanpa perlu meninggalkan premis masing-masing.

"Kita juga mahu program ini dapat dikembangkan dengan lebih meluas dengan kerjasama semua agensi yang ada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Rawatan ke atas mereka yang menagih dadah sudah 40 tahun dilakukan, dan angkanya masih lagi begitu (tidak berubah), justeru tanggungjawab yang lebih tinggi diberikan kepada PDRM untuk menangani isu dadah yang menjadi musuh negara ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya mengikut statistik AADK, seramai 123,139 orang penagih dan penyalah guna dadah dikesan pihak berkuasa, dan anggaran penagih dan penyalahguna dadah yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah seramai 492,556 orang.

"Selain daripada itu, pola penyalahgunaan dadah kebelakangan ini juga didapati beralih daripada dadah jenis organik ke jenis dadah sintetik.

"Penggunaan dadah sintetik merangkumi lebih kurang 69.8 peratus daripada jumlah penyalah guna dan penagih dadah.

"Lebih membimbangkan lagi, kumpulan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun didapati meliputi 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dan penagih dadah jenis itu," katanya.

Katanya, selain jumlahnya membimbangkan, masalah penagihan dadah juga semakin kompleks dan mencabar untuk dirawat pulih terutamanya yang membabitkan kes dual diagnosis, iaitu mereka yang disahkan menagih dadah dan pada masa yang sama mempunyai masalah penyakit mental atau penyakit komorbid.

Berita Harian X