Jumaat, 20 Mei 2022 | 12:20pm
Kegiatan menambak laut secara haram menyebabkan perairan di sekitar Teluk Nipah, Kuala Muda yang dahulunya bersih dan menjadi tumpuan pengunjung, kini bertukar menjadi ‘laut merah’. Kerja menambak tanpa kawalan dan berleluasa sejak lebih dua tahun lalu itu menyebabkan ekosistem pantai terjejas dan nelayan pantai semakin sukar mendapatkan hasil laut seperti ketam, siput dan ikan. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Kegiatan menambak laut secara haram menyebabkan perairan di sekitar Teluk Nipah, Kuala Muda yang dahulunya bersih dan menjadi tumpuan pengunjung, kini bertukar menjadi ‘laut merah’. Kerja menambak tanpa kawalan dan berleluasa sejak lebih dua tahun lalu itu menyebabkan ekosistem pantai terjejas dan nelayan pantai semakin sukar mendapatkan hasil laut seperti ketam, siput dan ikan. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Perairan sekitar Teluk Nipah jadi 'laut merah'

KUALA MUDA: Kegiatan menambak laut yang dibuat secara haram, dikesan menyebabkan kawasan perairan sekitar Teluk Nipah di sini, yang dahulunya bersih dan menjadi tumpuan pengunjung, kini bertukar menjadi 'laut merah'.

Kegiatan menambak yang dibuat tanpa kawalan dan berleluasa sejak lebih dua tahun lalu itu, kini menyebabkan ekosistem kawasan pantai terjejas, apabila kira-kira 50 keluarga nelayan pantai kini semakin sukar mendapatkan hasil laut seperti ketam, siput dan ikan.

Tinjauan BH mendapati, tiada lagi pesisir pantai di kawasan sepanjang kira-kira 300 meter dipercayai kesan daripada penambakan laut menggunakan tanah dan batu kawi yang diambil daripada kawasan bukit berdekatan.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan pengusaha pelancongan bertujuan membesarkan tapak miliknya dengan menceroboh kawasan pantai dan perairan yang sepatutnya menjadi rizab laut serta tidak boleh dibangunkan sewenang-wenangnya.

Kesan kegiatan itu dapat dilihat apabila kawasan tambakan baharu selebar 50 meter kini siap diratakan dan dikatakan bakal dibina kolam renang bagi menarik kehadiran pengunjung ke pusat pelancongan berkenaan.

Bagaimanapun akibat daripada kegiatan menambak yang dilakukan tanpa pemantauan teknikal, berlaku runtuhan tambak yang serius sehingga menyebabkan air laut bertukar menjadi kemerahan sekitar perairan Teluk Nipah ketika ini.

Runtuhan tambak yang serius di lereng bukit di hujung Teluk Nipah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Runtuhan tambak yang serius di lereng bukit di hujung Teluk Nipah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Penduduk kampung, Suhaizan Mohd Noor, 49, berkata sejak awal mereka cuba membantah tindakan yang dilakukan pengusaha pusat pelancongan terbabit yang mengorek lereng bukit menggunakan jentera berat dan menambak kawasan pantai berkenaan.

Katanya, pengusaha berkenaan dipercayai mengambil kesempatan kedudukan tapak pusat pelancongannya yang terletak paling hujung dan berdekatan bukit bagi melakukan kegiatan menambak yang dikatakan dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

"Memang kami ada nampak jengkaut masuk ke kawasan lereng bukit di hujung Teluk Nipah mulai 2019, namun mereka dakwa hanya mahu meratakan tanah sahaja dan kami sangka ia tidak akan beri kesan kepada penduduk kampung.

"Tetapi lama kelamaan apabila jengkaut kerap masuk, baru kami sedar mereka buat kerja tambak laut menggunakan tanah dan batu yang diambil di lereng bukit dengan kawasan mereka menjadi lebih luas berbanding keadaan asal," katanya ketika ditemui BH semalam.

Suhaizan berkata, pada mulanya kesan tambakan itu tidak begitu dirasai kerana kedudukannya agak jauh dari pantai Teluk Nipah, namun apabila kerja menambak semakin melebar, air laut mula bertukar menjadi kemerahan kerana bercampur tanah dan batu kawi.

Penduduk kampung, Suhaizan Mohd Noor.
Penduduk kampung, Suhaizan Mohd Noor.

"Keadaan jadi teruk terutama ketika ombak kuat menghempas tambak yang menyebabkannya runtuh sehingga air sepanjang pesisir pantai sampai ke tengah laut berwarna merah dan 'menakutkan' pengunjung.

"Tidak mustahil jika perbuatan menambak tidak dihentikan segera, seluruh perairan Teluk Nipah akan tercemar dan tiada lagi pengunjung mahu bersiar dan mandi laut di kawasan ini lagi," katanya.

Perkara sama turut disuarakan nelayan pesisir, Azhar Sudin, 56, yang berkata tiada lagi hasil laut yang dahulunya banyak dapat ditemui di pesisir kawasan tambakan akibat pencemaran yang berlaku.

Katanya, dahulu nelayan dan penduduk kampung dapat mengutip siput dan mencari ketam di pantai berkenaan, selain boleh menangkap ikan kerana air di kawasan yang bersambung sehingga Pantai Merdeka itu bersih.

"Sejak kecil lagi saya selalu kutip siput dan ketam bermula di hujung pantai Teluk Nipah yang kini ditambak, sebelum ini hasil memang banyak sehingga nelayan dapat jual sebagai rezeki tambahan selain hasil laut seperti ikan dan udang.

"Tetapi apabila laut kotor dan air jadi merah, semua ketam, siput dan ikan turut hilang. Kami terpaksa pergi jauh ke tengah laut bagi menangkap ikan kerana pencemaran berlaku di pesisir pantai," katanya.

Ketika ini, difahamkan pengusaha pusat pelancongan terbabit sudah membawa keluar jentera berat digunakan bagi menambak laut selepas penduduk membuat laporan polis dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda, baru-baru ini.

Perairan sekitar Teluk Nipah yang dahulunya jernih kini bertukar menjadi kemerahan akibat kegiatan menambak laut secara haram. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Perairan sekitar Teluk Nipah yang dahulunya jernih kini bertukar menjadi kemerahan akibat kegiatan menambak laut secara haram. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata pihaknya mengambil berat mengenai masalah dialami penduduk Teluk Nipah dan arahan pemberhentian kegiatan menambak sudah dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda.

"Kita memandang serius kegiatan menambak laut yang dilakukan pengusaha tanah terbabit kerana dibuat tanpa kebenaran dan arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan selepas pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda meninjau keadaan di Teluk Nipah baru-baru ini.

"Amaran keras turut diberikan kepada pengusaha berkenaan agar tidak meneruskan kegiatan berkenaan atau dia berkemungkinan berhadapan tindakan undang-undang yang lebih berat," katanya.

Nelayan tempatan, Zulkifli Abd Mutalib menyusun pukat di jeti nelayan pantai Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Nelayan tempatan, Zulkifli Abd Mutalib menyusun pukat di jeti nelayan pantai Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Berita Harian X