Jumaat, 20 Mei 2022 | 9:35am
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyaksikan majlis menandatangani MoA antara Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar, Sheikh Abd Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyaksikan majlis menandatangani MoA antara Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar, Sheikh Abd Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani.

UKM jadi UA pertama buka cawangan di luar negara

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka cawangan di Doha, Qatar menerusi pengambilan pelajar sulung pada Oktober ini, sekali gus menjadi universiti awam (UA) pertama negara membuka cawangan di luar negara.

Kejayaan UKM mengembangkan sayap ke luar negara direalisasikan selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan The Regional Group of Qatar, sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan di Qatar.

Majlis bersejarah itu disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pada majlis berkenaan, Noraini berkata pemeteraian perjanjian itu membuka lembaran baharu kepada institusi pengajian tinggi (IPT) negara untuk mencapai tahap lebih tinggi daripada segi penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, perundingan serta pembangunan komuniti, walaupun berdepan dengan cabaran masa berikutan penularan wabak COVID-19.

"Saya gembira UKM menjadi penyumbang kepada pencapaian tersebut dan mengambil langkah seterusnya untuk meluaskan pembabitan pengantarabangsaannya dengan melebarkan sayapnya ke Qatar," katanya.

Perjanjian itu ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar, Sheikh Abd Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani.

Sementara itu, Mohd Ekhwan dalam ucapannya berkata, pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain daripada penawaran kursus serta memantapkan jenama UKM di negara Teluk.

Kata beliau lagi, UKM amat berbangga dengan pengiktirafan itu kerana sebagai sebuah universiti watan, pihak universiti akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik dalam merentasi sempadan dunia.

"Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.

"The Regional Group pula bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

"UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik yang membabitkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan," katanya.

Berita Harian X