Khamis, 19 Mei 2022 | 5:13pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu

Ismail Sabri hadir rumah terbuka Aidilfitri BN Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah sejurus ketibaannya untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah yang bermula hari ini.

Perdana Menteri yang tiba di Ballroom Magellan Sutera Harbour di sini kira-kira jam 4 petang, disambut Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selaku tuan rumah majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Majlis berkenaan turut dihadiri ketua bahagian UMNO Sabah dari seluruh negeri dan pemimpin parti komponen BN Sabah.

Esok, Ismail Sabri dijadual merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Majlis berkenaan adalah program jelajah pertama anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Sabah pada tahun ini.

Pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari program berkenaan hingga 22 Mei ini termasuk Jualan Agro Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia, sukan elektronik, sukan rakyat, gotong-royong, kayuhan Fun Ride, kenduri Keluarga Malaysia dan pameran kementerian serta agensi kerajaan.

Berita Harian X