X
Rabu, 18 Mei 2022 | 4:59pm

Majlis Rumah Terbuka Malaysia, Khamis ini

AIDILFITRI tahun ini disambut meriah di seluruh negara apabila sebelum ini umat Islam meraikannya dalam kesederhanaan, selain ada yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

Keterujaan sambutan itu diteruskan apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 selepas dua tahun terhalang, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.

Objektif utama penganjuran MRTM Aidilfitri 2022 adalah untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan, kebudayaan dan kesenian negara dalam persekitaran norma baharu.

Selain itu, majlis ini turut diadakan bagi mengetengahkan tradisi sambutan Aidilfitri sekali gus menyemarakkan pelancongan budaya di Malaysia.

Bakal diadakan di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu perasmian MRTM Aidilfitri 2022 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Mei 2022, jam 9.00 malam.

Pelbagai acara menarik menanti tetamu sepanjang MRTM Aidilfitri 2022 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Mei 2022.

Padat dengan pelbagai pengisian

Image

Keluarga Malaysia dijemput menyertai program Rewang Raya bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, di Masjid Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, pada 20 Mei 2022 jam 9 pagi.

Orang ramai turut akan disajikan dengan hidangan hari raya di kenduri rakyat selain persembahan kesenian, pameran serta demonstrasi daripada jabatan serta agensi MOTAC.

Antara pameran yang ada termasuk pameran koleksi khas Aidilfitri dari 1915, demonstrasi makanan warisan dan bengkel masakan warisan yang boleh pengunjung terokai bersama seisi keluarga.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghadiri ceramah agama bertajuk "Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan" yang bakal diadakan pada 19 Mei 2022 jam 9 malam.

Ceramah ini akan menampilkan tiga panel iaitu Pengarah i-MiTS Ustaz Kamaruzaman Abdullah, mantan Mufti Terengganu Dato Zulkifli Muda serta Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni), Fakulti Pengajian Islam, UKM Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Sementara itu, pelaksanaan MRTM Aidilfitri 2022 ini juga akan dijadikan penanda aras bagi pelaksanaan program MOTAC yang seterusnya melalui kaedah norma baharu.

Justeru, pengunjung yang hadir perlu mematuhi piawaian operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan mulut, kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakkan fizikal.

Program ini diharap dapat meningkatkan semangat bersatu hati, toleransi selain menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta budaya untuk bersifat lebih terbuka dan saling menghormati.

Marilah kunjungi MRTM Aidilfitri 2022 yang bakal bermula 19 hingga 21 Mei 2022 di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu.

Keluarga Malaysia di sekitar negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu dijemput untuk memeriahkan program yang bakal dianjurkan ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.motac.gov.my.

Berita Harian X