Selasa, 17 Mei 2022 | 5:59pm

MHTC sasar RM800 juta pendapatan pelancongan kesihatan

KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan syarikat pemula teknologi media, PubliCT.io menyasarkan RM800 juta pendapatan kesihatan tahun ini, menerusi kempen antarabangsa.

Pemeteraian kerjasama antara MHTC dan PubliCT.io menyaksikan kira-kira 80 rakan hospital memperoleh pakej promosi, bagi perkhidmatan publisiti menyeluruh yang disediakan PubliCT.io.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif, berkata menerusi kerjasama itu, rakan hospital diberi jaminan untuk memperoleh liputan media yang merangkumi kira-kira 3,000 agensi media serantau dan antarabangsa.

"Susulan pembukaan sempadan negara, kami mengalu-alukan lebih ramai pelancong ke negara ini menikmati penjagaan kesihatan berkualiti tinggi disediakan pada harga berpatutan, teknologi terkini dan kakitangan perubatan berkelayakan serta terlatih di peringkat antarabangsa.

"Perkongsian bersama PubliCT.io ini ternyata tepat pada masanya untuk terus menempatkan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan, di samping kemudahan terkini yang ditawarkan hospital," katanya hari ini.

Pelan Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan sebelum ini, bermatlamat menempatkan semula negara sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka, di peringkat dunia.

Menerusi pelan itu, industri penjagaan kesihatan Malaysia mendukung hasrat menyediakan pengalaman pelancongan kesihatan terbaik kepada pelancong yang mahu mendapatkan rawatan.

"Seperti dinyatakan dalam pelan tindakan, kami berharap untuk menyediakan bimbingan kepada rantaian nilai dan industri pelancongan kesihatan, menerusi penciptaan nilai dan peluang yang akan memberi manfaat semua pemegang taruh dan memastikan pertumbuhan.

"MHTC yakin negara ini bakal mencapai Pengalaman Pelancongan Penjagaan Kesihatan Terbaik menjelang 2025," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PubliCT.io, Manminder Kaur Dhillon, berkata pihaknya komited membantu MHTC dalam mencapai jangkauan lebih luas perkhidmatannya meliputi perundingan perhubungan awam secara maya, penulisan kenyataan media dan khidmat penterjemahan.

"Kami yakin jenama penjagaan kesihatan Malaysia akan diiktiraf di lebih banyak negara. Publisiti sememangnya penting untuk mana-mana organisasi.

"Pengguna PubliCT.io dijanjikan dengan jaminan liputan di agensi penerbitan utama menerusi rangkaian rakan-berita, menggunakan platform pasaran kandungan kami yang serba unik.

"Usul bernilai kami yang unik membolehkan agensi berita memilih kandungan yang akan disiarkan, dan memperkasa jenama untuk memperoleh liputan media di laman berita terpilih," katanya.

Pada 2019, Malaysia menarik dan mengalu-alukan kira-kira 1.22 juta pelancong kesihatan, sebelum pandemik melanda.

Berita Harian X