X
Selasa, 17 Mei 2022 | 3:25pm
Ariffin (dua dari kiri) meninjau persiapan program MRTM di Dataran Jambatan Angkat, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Ariffin (dua dari kiri) meninjau persiapan program MRTM di Dataran Jambatan Angkat, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR

Nasi dagang, keropok lekor antara menu istimewa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia

KUALA NERUS: Nasi dagang, keropok lekor, tapai pulut dan kuih-muih tradisional menjadi antara menu istimewa disediakan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia (MRTM) yang dijangka dimeriahkan lebih 30,000 pengunjung, Jumaat ini.

Majlis akan berlangsung di Dataran Jambatan Angkat (Drawbrigde) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama kerajaan negeri itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata pelbagai aktiviti menarik juga akan diadakan sempena program MRTM selama tiga hari mulai Khamis ini.

Antaranya, pertandingan memancing bertema pemakaian kain pelikat dan semutar, pertandingan lumba perahu, himpunan keris, gateh busana, pertandingan kambing cantik, pertandingan ratu ayam serta perarakan bot berhias.

"Acara sampingan termasuk demonstrasi dan pertandingan masakan termasuk membuat ketupat sotong, kuih bunga ros dan menganyam ketupat, akan turut diadakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan program MRTM, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, penganjuran MRTM dijangka mampu menjadi wadah untuk masyarakat setempat memperkukuhkan silaturahim sejajar semangat Keluarga Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, program berkenaan dapat memperkenalkan keunikan serta keindahan negeri kepada masyarakat dari luar Terengganu.

"MRTM diadakan untuk kali pertama selepas dua tahun program ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X