Selasa, 17 Mei 2022 | 2:55pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jangkitan HFMD, Melaka akan tutup semua taska, tadika jika ada arahan

MELAKA: Melaka hanya akan menutup semua taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) jika mendapat nasihat atau arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), walaupun kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin, berkata setakat ini hanya 11 pusat asuhan kanak-kanak diarah tutup di Melaka sejak HFMD mula menular.

"Bagaimanapun, setakat ini, tiada arahan penutupan bagi semua tadika, taska dan pusat jagaan harian di Melaka. Jika ada arahan mengenai penutupan itu, baru kami tutup semuanya," katanya selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Terdahulu, media melaporkan, kes HFMD di Melaka mencatatkan peningkatan ketara iaitu 977 kes setakat minggu lalu berbanding hanya 95 bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman, berkata 13 kluster dilaporkan membabitkan 11 premis iaitu tujuh di Jasin, tiga di Melaka Tengah dan sebuah premis di Alor Gajah, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – BERNAMA

Berita Harian X