Selasa, 17 Mei 2022 | 2:45pm
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan Darjah SPMP kepada Awang Adek di Istana Arau, hari ini. - FOTO BERNAMA
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan Darjah SPMP kepada Awang Adek di Istana Arau, hari ini. - FOTO BERNAMA

Awang Adek ketuai senarai 325 penerima darjah, pingat kebesaran Perlis

ARAU: Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Awang Adek Hussin, mengetuai senarai 325 penerima anugerah darjah dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di Istana Arau, di sini, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seorang lagi penerima SPMP ialah Pengarah Prima Group Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Ariffin Mohd Yusuf.

Seterusnya, tiga penerima anugerah Darjah Dato Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Mohd Yusof.

Penerima Darjah Dato Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang juga membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim.

Turut menerima Darjah DSPJ ialah Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad; Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Akmal Che Mustafa; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah; serta Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Wan Jeffry Kassim.

Dua individu menerima Darjah Dato Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Pendaftar USM, Dr Musa Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md Silmi Abd Rahman.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr Zaliman Sauli; Pegawai Kewangan Perlis, Zepri Saad; Ketua Bahagian Undang-Undang, Kementerian Luar, Wan Noor Sakina Saad; dan Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Sirajuddin Hashim, menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP).

Empat penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) pula ialah Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan UniMAP, Prof Dr Salleh Abd Rashid; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli; Arkitek Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya, Analiza Zakaria; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.

Selain itu, 32 individu dianugerahkan Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP);

36 Pingat Mahkota Perlis (PMP); tiga Pingat Pekerti Terpilih (PPT); 61 Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 153 Pingat Jasa Baik (PJB); dan 20 Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran itu kepada 22 penerima, hari ini, manakala 303 lagi akan menerimanya dalam majlis pada hari lain.

Berita Harian X