Selasa, 17 Mei 2022 | 11:33am
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir di Kuala Pilah, lewat malam tadi. - FOTO APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir di Kuala Pilah, lewat malam tadi. - FOTO APM

110 mangsa banjir Kuala Pilah dipindah

KUALA PILAH: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini, masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Desa Dangi selepas kawasan berkenaan terjejas akibat banjir yang melanda mulai semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor, berkata setakat pagi ini, daerah terbabit banjir di negeri ini adalah Seremban dan Kuala Pilah, namun hanya dua PPS dibuka iaitu di Kuala Pilah, manakala banjir di Seremban dilaporkan telah surut.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir di Kuala Pilah, lewat malam tadi. - FOTO APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir di Kuala Pilah, lewat malam tadi. - FOTO APM

"Setakat pagi ini, seramai 74 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Dangi dan 36 mangsa di PPS SK Undang Johol.

"Hujan lebat sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Pilah terjejas sehingga berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Kampung Batu-Inas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, banjir di daerah ini turut mengakibatkan sebuah Toyota Avanza dinaiki satu keluarga dihanyutkan arus ketika melalui Jalan Kampung Batu- Inas, tetapi semua mangsa selamat dan dihantar pulang ke kediaman mereka di Johol.

Dalam pada itu, sukarelawan yang terkenal dengan jolokan 'Abang Viva' Azwan Omar, dilaporkan berada di Kuala Johol, pada kira-kira jam 10.30 malam tadi bagi membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Azwan dikatakan terus datang membantu selepas dihubungi seorang penduduk, Mohd Norhisham, 45.

"Alhamdulilah, syukur terima kasih. Tahu-tahu sahaja dia sudah sampai membantu kami. Biasanya, banjir hanya berlaku di Kuala Johol, namun kali ini turut melanda Inas. Terima kasih kepada pasukan penyelamat, penduduk dan Abang Viva yang sudi membantu mangsa," kata Mohd Norhisham.

Berita Harian X