X
Isnin, 16 Mei 2022 | 3:44pm
Kebanyakan pemilik kenderaan asing yang mengisi minyak di stesen di bandar raya Johor Bahru mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. NSTP/ Mary Victoria Dass
Kebanyakan pemilik kenderaan asing yang mengisi minyak di stesen di bandar raya Johor Bahru mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. NSTP/ Mary Victoria Dass

KPDNHEP siasat 10 stesen minyak

JOHOR BAHRU: Sebanyak 10 stesen minyak di bandar raya ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 susulan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing dari negara jiran.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata ia berdasarkan aduan diterima daripada orang ramai berkaitan isu sama selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan berterusan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat stesen minyak lain yang masih berdegil dan melakukan perkara sama.

Katanya, secara keseluruhan pemantauan dilakukan pihaknya mendapati isu berkenaan semakin berkurangan susulan pelbagai langkah dilakukan KPDNHEP dan pengusaha stesen minyak.

"Kami menasihati mereka lebih peka bagi mengelak perkara sama berulang.

"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang," katanya.

KPDNHEP turut menjalankan pemantauan di stesen minyak di kawasan sempadan Johor dengan radius 25 kilometer termasuk Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Skudai di sini bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON 95.

Sementara itu, seorang pengusaha stesen minyak di bandar raya ini dikenali sebagai Rahmat berkata, dalam usaha mengelak kenderaan asing mengambil kesempatan membeli petrol bersubsidi, pihaknya juga menambah bilangan pekerja.

Beliau berkata, kakitangan berkenaan bukan saja memudahkan pelanggan yang ingin mengisi minyak, malah memantau sama ada kenderaan asing membeli petrol bersubsidi.

Katanya, pemantauan juga dilakukan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang.

"Kami bukan mahu mengaut keuntungan, sebaliknya sesetengah warga asing membuat pembayaran menerusi kad kredit dan mengisi minyak ketika keadaan stesen minyak agak sibuk hingga kami tidak menyedari perbuatan mereka.

"Sekiranya ia stesen minyak berkonsepkan layan diri, lebih rumit bagi kami, jadi langkah menambah bilangan pekerja diharap mampu menangani kes tidak sepatutnya berlaku ini," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman gambar beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 yang dipercayai di stesen minyak sekitar bandar raya Johor Bahru.

Ia susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura yang membolehkan pengembara dari republik itu memasuki negara ini sama ada menerusi Tambak Johor atau SecondLink di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.

Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010.

Susulan itu, sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Berita Harian X