Sabtu, 14 Mei 2022 | 3:54pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Malaysia perlu naratif ekonomi baharu

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan naratif ekonomi baharu yang berpaksikan transformasi realistik institusi utama negara, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kementerian berkaitan ekonomi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata transformasi itu mesti bertujuan memupuk semula kepercayaan dan mentransformasi struktur ekonomi Malaysia supaya tidak ditinggalkan negara seperti Indonesia serta Vietnam dalam dekad akan datang.

Katanya, pembuat dasar harus sedar, apabila setiap dekad berlalu, negara harus mempunyai naratif ekonomi baharu yang sesuai dengan konteks dan cabaran dekad itu.

"Bagi menyokong usaha ini, kerajaan harus beransur-ansur mengutamakan lantikan berdasarkan kelayakan dan keupayaan ke dalam GLC dan beberapa kementerian berkaitan ekonomi.

"Transformasi politik dan institusinya pula harus sentiasa ditingkatkan supaya kepercayaan rakyat kepada ahli politik serta demokrasi sentiasa utuh," kata Ahmad Zahid melalui Twitternya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, kelmarin, menyingkap kembali nostalgia keberkesanan naratif ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, apabila Pakatan Harapan (PH) merampas tampuk kekuasaan negara, naratif ekonomi berfokus kepada usaha melempiaskan dendam tertentu kepada pemimpin UMNO.

"Sejak itu, negara kehilangan naratif yang menyeluruh dalam pembangunan ekonominya. Konsultan antarabangsa pula dibayar dengan harga yang keterlaluan untuk menghasilkan dasar yang jauh daripada realiti kehidupan rakyat.

"Akhirnya, usaha murni kerajaan BN untuk mengupayakan ekonomi rakyat Malaysia terbantut dan disisihkan. Negara kembali lesu dan hilang seri untuk menarik serta merebut peluang pada era globalisasi," dakwanya.

Beliau berkata, debat antara Anwar dan Najib bukan sekadar debat 'suka-suka' dan rakyat Malaysia merindui naratif ekonomi yang berkisar mengenai kehidupan mereka.

"'Kek ekonomi Malaysia' harus dibesarkan dan dibahagi secara adil dan menyeluruh. Utamakan yang berprestasi dan berusaha.

"Bagi yang kurang berupaya pula, mereka perlu sentiasa dibantu mengikut keperluan semasa," katanya.

Debat antara Anwar dan Najib menyentuh dua perkara utama iaitu usaha menyelamatkan syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Berita Harian X