Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:02pm
Mentero Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra dengan Pesuruhjaya Tinggi Kenya, Francis N Muhoro (baju batik) yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MOTAC di Kraftangan Malaysia di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Mentero Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra dengan Pesuruhjaya Tinggi Kenya, Francis N Muhoro (baju batik) yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MOTAC di Kraftangan Malaysia di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Sektor pelancongan perlukan 20,000 pekerja

KUCHING: Industri pelancongan kini mengalami masalah kekurangan pekerja kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ketika ini kekurangan pekerja di sektor itu dianggarkan mencecah antara 15,000 hingga 20,000 orang.

Justeru katanya, usaha sedang dijalankan untuk merekrut seramai mungkin pekerja baharu untuk mengisi keperluan dalam semua sektor pelancongan khususnya perhotelan.

"Angka itu adalah berdasarkan data yang diperoleh daripada penggiat industri yang berdaftar khususnya persatuan pelancongan.

"Kekurangan pekerja itu disebabkan cabaran dihadapi industri ini ketika COVID-19 apabila ramai yang beralih ke bidang kerja lain malah ramai juga yang kini bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) di Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.

Nancy berkata, pengambilan pekerja baharu perlu disegerakan berikutan industri pelancongan kini semakin berkembang sejak sempadan negara dibuka 1 April lalu.

Menurutnya, dalam tempoh lebih sebulan selepas pembukaan sempadan itu, jumlah pelancong yang memasuki negara kini mencecah lebih 500,000 orang.

"Sehubungan itu, saya amat yakin dua juta pelancong yang disasarkan MOTAC tahun ini akan dapat dicapai.

"Beberapa tarikan baharu akan kita perkenalkan antara mempromosikan tekstil dalam kalangan pelancong Arab," katanya.

Nancy berkata, ketika kunjungannya ke Dubai baru-baru ini, masyarakat Arab menyatakan hasrat mereka untuk melihat produk pelancongan baharu.

"Sebelum ini, pelancong Arab biasanya mengunjungi tempat percutian di Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Genting.

"Sekarang kita mahu memperkenalkan tekstil sebagai tarikan baharu untuk pelancong dari rantau Arab dan kita akan mengadakan pertunjukan fesyen di Arab sebagai salah satu promosi," katanya.

Selain itu katanya, MOTAC juga akan terus mempromosikan pelancongan alam semula jadi sebagai daya tarikan.

"Sebab itu, pada majlis ramah mesra Aidilfitri ini 10 duta asing dijemput menghadirinya di majlis di Kraftangan Malaysia ini kerana ia akan memberi peluang kepada mereka melihat hasil kraftangan terutamanya produk tekstil.

"Duta asing itu juga sempat melawat beberapa lokasi ekopelancongan di Kuching dan ini diharap akan membantu merancakkan lagi promosi pelancongan semula jadi," katanya.

Antara duta yang hadir pada majlis itu ialah dari Kenya, Hungary, Libya, Namibia, Indonesia, Thailand, Korea, China dan Ghana.

Berita Harian X