Jumaat, 13 Mei 2022 | 5:53pm
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir. - NSTP/Ghazali Kori
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir. - NSTP/Ghazali Kori

Prof Siti Hamisah ketuai siasatan kematian pelatih perubatan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, akan mempengerusikan pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat kes kematian pegawai pelatih perubatan dan dakwaan budaya buli dalam perkhidmatan kesihatan.

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang ditubuhkan secara rasmi hari ini, turut dianggotai lapan individu profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

Anggota lain adalah bekas Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin; dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Pakar Perunding Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-Lin; pakar bidang komunikasi dan media, keselamatan pesakit, pembangunan jenama serta pengurusan krisis, Manvir Victor.

Pakar penilaian, membangun dan melatih ketua pegawai eksekutif (CEO), eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas itu akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan.

Katanya, pasukan itu antara lain berperanan membuat analisis dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) secara khusus.

Katanya, ia merangkumi aspek masa dan beban kerja, saluran aduan, kepemimpinan, bimbingan dan latihan, penilaian prestasi, penyampaian perkhidmatan, serta peluang kerjaya.

"Seterusnya, menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang, memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus.

"Ia akan membabitkan sesi taklimat dan libat urus bersama bahagian di KKM yang berkaitan, kakitangan KKM, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta mana-mana pihak atau individu berdasarkan keperluan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, pasukan berperanan mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi tujuan menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu.

"Menjalankan kaji selidik dan analisis berkaitan; dan menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan," katanya.

Beliau menegaskan, KKM komited dalam usaha memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasiliti kesihatan KKM.

"Saya akui usaha ini memerlukan sedikit masa untuk membuahkan hasil tetapi ingin tegaskan suasana kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja kita.

"Sekarang bukan masanya untuk berbalah atau menuding jari. Kita melalui cabaran pandemik COVID-19 bersama-sama dan berkat komitmen, kerjasama yang erat antara semua petugas kesihatan, kita kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik," katanya.

Khairy berkata, setiap petugas kesihatan, sama ada jururawat, PPS, pemandu ambulans dan pegawai perubatan pakar yang merangka pelan pengurusan pandemik sudah melakarkan satu sejarah penting dalam episod COVID-19.

"KKM sebuah keluarga besar dengan lebih 270,000 perjawatan dan bersama, kita mampu menyediakan sebuah sistem kesihatan terbaik.

"Tanggungjawab utama kita adalah memastikan keselamatan setiap pesakit yang dirawat dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada seluruh rakyat adalah berkualiti tinggi," katanya.

Berita Harian X