Jumaat, 13 Mei 2022 | 1:17pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kes HFMD di Johor meningkat 6.8 kali ganda

JOHOR BAHRU: Kes penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) di Johor meningkat sebanyak 6.8 kali ganda tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon, berkata sehingga Minggu Epid 18/2022, sebanyak 640 kes HFMD telah dilaporkan berbanding 94 kes pada tempoh yang sama.

Katanya, peningkatan ini telah dijangka berlaku pada tahun ini susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selari dengan peningkatan kes itu di negara ini.

"Bagaimanapun, situasi masih terkawal memandangkan bilangan ini adalah rendah berbanding situasi pra COVID-19, iaitu 1,015 wabak pada tempoh yang sama tahun 2019.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 614 kes (96 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 22 kes (3 peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak 24 wabak HFMD dilaporkan. Daerah tertinggi ialah Johor Bahru iaitu 10 wabak, diikuti daerah Kluang (6) dan daerah Kota Tinggi, Kulai dan Segamat (masing-masing 2 kes),"vkatanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, majoriti lokasi penularan berlaku di taska dengan catatan 17 wabak, diikuti oleh tadika (3 wabak), rumah persendirian (2 wabak) dan pusat jagaan kanak-kanak (1 wabak).

Katanya, penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke sepuluh hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Beliau berkata, memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin menegaskan supaya semua pengusaha institusi perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang digariskan bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap kanak-kanak.

Berita Harian X