Jumaat, 13 Mei 2022 | 11:52am
Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membincangkan hal berkaitan Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu masa depan negara malam ini berjalan lancar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membincangkan hal berkaitan Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu masa depan negara malam ini berjalan lancar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Najib, Anwar - siapa lebih hebat berhujah'

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyaran hujah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai debat perdana malam tadi, dijadikan kerangka kepada dasar negara.

Beliau mendakwa, kombinasi idea kedua-dua pemimpin terbabit mampu menamatkan segala persoalan yang menghantui rakyat.

"Saya lihat, jika kombinasi idea antara kedua-dua tokoh ini dapat diterjemahkan sebagai sebuah pembentukan idea dan juga kerangka yang menjadi dasar negara.

"Saya fikir tidak akan timbul lagi tentang soal yang menghantui pemikiran rakyat pada masa hadapan," katanya reaksi kepada Program Debat Perdana berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), malam tadi.

Beliau menyifatkan, debat itu menjadi proses kepada kematangan politik dan wacana seumpama itu perlu dilakukan lebih kerap membabitkan tokoh politik yang lain.

"Tentunya wacana intelektual harus diadakan dengan lebih kerap supaya kita bukan hanya mahu merungkaikan permasalahan sesuatu kumpulan dan lebih penting supaya rakyat diberikan kefahaman," katanya.

Debat di antara Najib dan Anwar menyentuh dua perkara utama iaitu usaha menyelamatkan syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Sementara itu, Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke, menyifatkan Anwar berdebat dengan lebih baik dan berjaya mematahkan hujah pihak lawan dengan cekap.

Katanya, Najib berusaha meyakinkan orang ramai bahawa perlu menyelamatkan syarikat Sapura Energy kerana dilihat sebagai syarikat strategik dan membabitkan kepentingan banyak pihak.

"Anwar pula menegaskan perlunya akuantabiliti dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan korporat terhadap kegagalan mereka dan kerajaan tidak seharusnya "bailout" mana-mana syarikat dengan sewenang-wenangnya," katanya

Beliau berkata, apabila Najib menggunakan analogi "memperbesarkan kek ekonomi" sebagai mantra pengurusan ekonominya, Anwar mempersoalkan siapa yang dapat bahagian kek yang lebih besar.

"Bagi saya, hujahan balas ini adalah "highlight" atau titik tumpu dalam debat malam ini,".

"Dalam usaha Najib mempertahankan kenyataannya "Cash is King", beliau cuba putar belit kononnya "king" yang dimaksudkan ialah rakyat

"Saya tak faham logik ini dan Anwar pula dengan berani menyatakan bahawa bahawa "cash is king" ini akan menjadi masyarakat kita mempunyai "dependency syndrome" yang mana golongan miskin akan sentiasa bergantung kepada golongan elit politik untuk bantuan dan terasa terhutang budi kepada mereka tanpa satu pendekatan jangka panjang memerdekakan mereka daripada masalah kemiskinan.

"Budaya debat ini memang satu usaha yang baik dan harus digalakkan di kalangan pemimpin politik dan diperbanyakkan terutama semasa kempen PRU 15 yang akan datang.

"Kita perlu berusaha menyuburkan proses demokrasi di negara kita dan menggalakkan pemikiran kritis di kalangan rakyat Malaysia!," katanya.

Dalam reaksi yang lain, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin, mendakwa jelas sekali hujah Najib lebih baik bukan saja dari segi aksi yang tenang tetapi hujah dan fakta yang kukuh ditambah visi yang jelas.

"Anwar pula silapnya terbawa-bawa sebagai pembangkang dalam debat kali ini. Gagal menangkap imaginasi penonton," katanya

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa debat malam tadi mendedahkan, Anwar bukan material sebagai perdana menteri.

Katanya, Anwar tidak ada penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan, sebaliknya hanya retorik.

"Memang Anwar retoris. Dia semakin jauh daripada jawatan Perdana Menteri. Itu sebab Rafizi (Ramli) bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dia beri signal, selagi ada Anwar, selagi itu PKR semakin ditolak rakyat," katanya.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad pula berkata, debat kedua pemimpin itu tidak mengubah persepsinya terhadap Najib.

Katanya, Najib sarat dengan fakta sepertimana kehadirannya di media sosial dan berani membuat cadangan walaupun biasa diperlekehkan, termasuk di Dewan Rakyat.

"Begitu juga persepsi saya terhadap Anwar. Gayanya dan isi ucapannya adalah seperti mana saya ingati beliau. Sedap didengar tapi kepuasan hanya buat sementara.

"Tapi ada satu yang berlaku pada malam debat itu yang menimbulkan pertanyaan terhadap kewibawaan Anwar sebagai seorang pemimpin negara," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendakwa Najib banyak memutar belit fakta dalam hujah yang disampaikan sepanjang perdebatan itu.

"Saya percaya ramai yang menonton serta bersetuju berhubung perkara itu dan Anwar adalah pemenang", katanya.

Berita Harian X