Jumaat, 13 Mei 2022 | 10:59am
Penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor, kini sudah melebihi paras amaran.
Penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor, kini sudah melebihi paras amaran.

Jangkitan HFMD di Selangor sudah melepasi Tahap Amaran

SHAH ALAM: Penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor, kini sudah melebihi paras amaran.

Sejumlah 6,748 kes direkodkan setakat 7 Mei lalu, membabitkan penularan dalam kalangan 118 kluster dengan 95 peratus daripadanya adalah tadika, taska serta pusat jagaan harian kanak-kanak.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata trend penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu meningkat secara berterusan sejak awal tahun hingga kini.

"Sehingga 7 Mei lalu, sebanyak 6,748 kes telah dinotifikasi dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran di Selangor.

"Daripada bilangan itu, sebanyak 4 peratus dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

"Pada masa sama, ada 118 kluster HFMD dilaporkan, dengan 95 peratus daripadanya membabitkan kluster di taska/tadika serta pusat jagaan harian. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi JKNS.

Dr Sha'ari berkata, sebanyak 33 peratus kes jangkitan adalah berpunca daripada Coxsackie Virus A16 (CA16), Enterovirus 71 (EV 71) pula sebanyak 22 peratus.

"Pada pada minggu epid ke-18 (ME 18) tahun ini, sebanyak 525 kes dilaporkan, menurun sebanyak 40 peratus berbanding ME sebelumnya.

"Walau bagaimanapun, penurunan ini dipercayai berlaku berikutan cuti perayaan Hari Raya dan kebanyakan pusat jagaan serta institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

"Pada masa sama, tiada kluster HFMD dilapor semasa tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata, JKNS menasihati ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat awam serta tidak menghantar mereka ke sekolah, taska dan pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

"Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh dan merawat lepuh.

"Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin.

"Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan agar menguruskan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul," katanya.

INFO: PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD)

1. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand Foot Mouth Disease, HFMD) yang lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun. Ia disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus. Sebanyak 67 serotypes manusia yang terdiri daripada 3 serotypes poliovirus, 23 serotypes Coxsackie A, 6 serotypes Coxsackie B, 31 serotypes Echovirus dan enterovirus 68 hingga 71. Daripada kumpulan enterovirus tersebut, majoriti jangkitan adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).

2. Kebiasaannya gejala HFMD adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Kes HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti encephalitis dan myocarditis.

3. Virus penyebab HFMD boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis dan merebak melalui melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit. Penyakit ini cepat menular di kalangan kanak-kanak. Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi majoriti kanak-kanak berumur bawah 6 tahun adalah lebih berisiko. Tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari dan masa yang paling berisiko untuk menjangkiti orang lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul. Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD boleh menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering. Majoriti kes mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa 5-7 hari.

Berita Harian X